Monday, June 3, 2013

Tribute Buat Isteri,Sahabat Baik dan Teman Pelengkap Jiwa.

Kita tak pernah sama,
Terang - terang kita beza jantina,
Kerna itu kita jatuh cinta,
Kali pertama buat selamanya.

Argumen besar,
    Walau tidak sebesar semesta,
Argumen kecil,
    Tapi jangan sekali diperkecil,
Semua itu mendewasakan kita,
Hadirnya Ava malah memperkukuh cinta,
Kita bahagia, sekeliling kita juga meraikan gembira.

Syukur pada ilahi,
Setiap pagi ku sedut nafas pagi,
Dan tiap kali ku pandang wajahmu di sisi,
Sungguh! aku jatuh cinta pada mu lagi,
Bukan sekali, malah berkali - kali.

Kasihku tidak berteman hadiah mega,
Tidak juga epik bagai Sita Dewi dan Ramayana,
Kerna aku cuma proletar biasa,
Membuat kau ketawa, girang sentiasa,
Sudah cukup buatku berbagi bahagia bersama.

Biar biologinya kita semakin menua,
Tapi semangat muda dan bercinta terus sentiasa.

Buat kamu Lily Normaya,
Isteri, sahabat baik, teman pelengkap jiwa,
Di waktu senang,
Susah dan lara.

Moga cinta, persahabatan,
perkongsian hidup kita,
padu sampai bila - bila.

Selamat hari lahir kedua puluh lapan
Rindu kamu dalam dakapan.

Monday, May 27, 2013

Review Buku : Pengembaraan Tanah Kusir

Aku beli buku ni atas rekomendasi dari Nizang (Mosh/DDT/Aksi Reaksi). Nizang pun ada buat review tentang buku ini di goodreads. Jujurnya, aku memang  tak pernah baca zine Roots karya Din Akar apatah lagi mengenal sosok yang namanya Azarudin Paiman ini. Tapi buku Azaruddin Paiman a.k.a  Din Akar ini memang padat. Buku yang berkisar tentang perjalanan penulis bersama - sama rakan - rakan ke Indonesia untuk bermain gig di kota Jakarta. Aku suka dengan gaya penulisan Din Akar, santai dan tak skema macam travelogue lain yang aku baca sebelum ini. Sebab buku ini santai, makanya aku dapat habiskan dengan sekali harung. Bukan senang nak buat orang baca buku yang ko tulis sampai habis. Buku yang kurang menarik, baca suku jalan, terus tertido. Ini pendapat peribadi aku la. Bila baca buku travelogue macam ni buat rasa diri berkobar - kobar nak berbackpacking travel around the world. Buku setebal 111 muka surat ini banyak bagi aku  ilmu - ilmu baru. Penulis secara tak langsung telah enlight pembaca dia melalui penulisan beliau, bukan sekadar tulis - tulis kosong. Kalau tengok kulit depan buku memang agak seram sebab ada patung voodoo tercucuk dada, tak seriau tengok?. Ala - ala buku panduan menyantet orang yang dibenci. Patung tu memang buat aku tertanya bila pertama kali aku tengok gambar buku ni. Mujur ada deskripsi foto kaver berkaitan imej tu. Kata - kata dont judge book by its cover emang ada benarnya. Antara info menarik yang dikongsi Din Akar dalam buku adalah tentang kehidupan anak - anak punk di kota Jakarta. Ada punk punya jati diri dan ada juga punk jadi - jadian menurut kata penulis. Satu lagi yang dikongsikan penulis  adalah tentang saiz badan punk Indonesia dibanding punk Malaysia yang lebih berisi atau lebih manis gemuk - gemuk gitu. Ada gambar sebagai bukti. 

Lepas  habis baca buku ni, aku rasa nak cari zine Roots, sebab aku suka gaya penulisan Din Akar ni, barangkali boleh ditemui dalam koleksizine.com dalam bentuk pdf. Buat Din Akar, teruskan berkarya dan terus melakukan bahagianmu sebagai manusia. Buat Hellexist, secara tidak langsung telah di dokumentasi perjalanan gig mereka tika di Jakarta. Untung beruntung. Moga sukses buat kalian semua.

Sunday, May 26, 2013

Review Buku : Muslim Zalim VS Non Muslim Adil

Buku ini adalah antara buku yang aku beli semasa Pesta Buku Selangor pada Jumaat Keliwon yang lepas. Memang niat aku pergi ke sana pun memang untuk cari buku ini dan juga buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Kedua - keduanya boleh didapati di booth Dubook Press. Buku kecil karya Ustaz Wan Ji  ini cukup padat kupasannya. Aku dapat tahu tentang buku ini melalui facebook semasa tempoh kehangatan PRU 13 yang lepas. Buku ini sangat informatif. Sungguh!. Pada pendapat aku, buku ini terbit tepat pada masanya dikala musim pilihanraya yang mana ada hujah - hujah mengatakan jangan undi orang bukan Islam. Ustaz Wan Ji dalam bukunya ini menjawab persoalan berikut dengan kritis dan berfakta dalam bentuk yang cukup ringkas tetapi tepat. Buku ini terbahagi kepada 5 bab. Setiap bab diperinci dan dikupas bersandarkan nas - nas Al - Quran dan hadis. Penulis juga menggunakan sirah nabawi dan cerita - cerita para sahabat dalam membuat perbandingan situasi dengan apa yang berlaku hari ini. Buat pembaca  yang mahukan penjelasan yang lebih lanjut boleh membuat cross reference berpandukan footnote yang disertakan bersama. Buku adalah antara buku wajib milik kepada mereka yang sering tertanya -tanya persoalan tentang Islam dan demokrasi. Bab yang paling menarik perhatian aku adalah bab 5 yang mana persoalan yang sering berpusing - pusing dan bersiar -siar terjawab. Jawapan berfakta beserta nas - nas yang bernas. Ini lah indahnya membaca, setiap halaman buku mempunyai magisnya tersendiri dalam memberi pencerahan pada pembacanya. Buat Ustaz Wan Ji, teruskan dakwah dan usaha murni anda dalam usaha mencerahkan pemikiran masyarakat. Lawan dengan ilmu.bukan dengan emosi membabi tuli. 

" Penipuan tidak berlaku dalam sistem, tetapi penipuan berlaku pada individu yang terlibat dengan sistem" - Petikan dari Muslim Zalim vs Non Muslim Adil - Wan Ji Wan Hussin

Sunday, March 24, 2013

Review Buku : CERPEN - Khairul Nizam Bakeri


Khairul Nizam Bakeri. Karyanya memamg tak pernah mengecewakan aku. Jika PECAH dulu pernah bikin aku WOW dengan jalan ceritanya, CERPEN pula mengungkap pelbagai rasa. Tapi yang pasti rasa puas pada setiap cerita yang disajikan beliau.Himpunan 16 kispen (kisah pendek, terma yang sering Khairul Nizam Bakeri gunakan) benar - benar menggaul perasaan kita sebagai pembaca. Penulis memang pandai dalam hal mengolah jalan  cerita dan bermain dengan kata - kata. Sebagai contoh dalam kispen PILIH, aku benar - benar tertarik dengan gaya lengok bahasa yang digunakan. Berbunyi klasik, kena dengan jalan cerita yang disampaikan. Jika diamati, penulis sebenarnya ada meletakkan kritik sosial dalam karya - karya kispen  beliau. Samada secara langsung atau tidak langsung. Secara jujur aku ingin  sekali ketemu sosok yang bernama Khairul Nizam Bakeri ini. Kalau bisa mahu dapatkan tandatangan untuk karya - karya beliau yang ada dalam simpanan aku. Dalam hal bermain kata dan bahasa, HANYA SEPULUH memang bisa membuktikannya. Dengan hanya sepuluh patah perkataan, beliau berjaya menyampaikan mesejnya dengan tepat dan padat. Ini aku suka. Ringkas, tapi maksudnya sampai.HANYA SEPULUH ini adalah kuitpan dari siri HANYA SEPULUH yang selama ini beliau muatkan dalam blognya SALAH TAIP. Sebenarnya ada juga kispen di dalam bukunya kali ini pernah termuat dalam blog beliau. CERPEN sangat mengujakan bagi aku. Dek kerana terlalu asyik membaca sampai aku terbawa - bawa dalam tidur ceritanya. Teruskan berkarya Khairul Nizam Bakeri, kerana bakat dan cerita - cerita yang kamu sajikan pada pembaca kamu ada magisnya tersendiri. 

Nota : Menunggu PECAH untuk ditayangkan di panggung.

Tuesday, March 19, 2013

Review Buku : Aksi Reaksi 2




Akhirnya Aksi Reaksi versi kedua telah terbit. Bersaiz lebih kompak, kemaskini dari susun atur dan sudah ada ISBN. Sudah jadi benar - benar buku bila dah ada ISBN ni, dalam kata zaman aku study Information Studies dulu dah ada surat beranak lah. Tahniah buat Nizang dan Dum Dum Tak atas dokumentasi ini. Buku ini ada sentimental value kat aku sebab penulih buh nama aku kat kulit belakang buku ni. Terima kasih Nizang kerna sudi mensi nama saya dikulit belakang buku kamu. Versi kedua Aksi Reaksi ini sebenar adalah lebih kurang sama dengan Aksi Reaksi versi pertama. Istimewanya yang kedua ini ada prakata dari satu sosok rebel yang sangat dikenali di Malaysia ini iaitu Hishamuddin Rais dari Tukar Tiub. Untuk edisi kedua ini juga, Perak Alternatif Press Distro menjadi tukang terbitnya. Versi satu dulu Oxygen Media kalau tak silap, seperti yang aku baca dalam buku tu lah. Aksi Reaksi 2 ini juga adalah dedikasi khas penulis kepada arwah Aiman, yang mana antara founding fathers of Dum Dum Tak. Aku recommend korang baca buku ni sambil dengar lagu - lagu Dum Dum Tak, nanti boleh sing a long sekali sebab ada lirik lagu disertakan dalam buku ni. Untuk dapatkan buku ini, boleh hubungi mereka seperti tertera pada flyers di bawah. Split CD nya juga bagus. Jangan lupa dapatkan ya teman - teman. 



Monday, March 11, 2013

Gratis

Percuma, percuma, percuma,
Kalau bisa, mahu saja ku beri percuma,
Bukan barter bukan beli,
Percuma, percuma, percuma,
Benar, semuanya percuma.

Ijok Really Really Free Market
Bagi tahun 2013, ianya akan menjelma,
Sedikit berbeda, tapi masih lagi percuma.
Percuma itu bahagia.