Dalam beberapa bulan ini, aku melakukan beberapa pemerhatian tentang sikap manusia, khususnya sikap lelaki pada wanita. Dalam pemerhatian ini, aku dapat melihat dengan jelas bagaimana sesetengah manusia yang namanya lelaki ini memandang wanita dengan justifikasi yang sangat berat sebelah, seksis dan langsung tidak peduli tentang perasaan manusia yang namanya wanita. Tujuan artikel ini ditulis jauh sekali untuk membeli jiwa golongan wanita mahupun femisnist. Sekadar pandanganku sebagai manusia yang namanya lelaki.
Perkara paling ketara yang aku lihat dalam permasalahan ini adalah kurangnya sifat kita dalam menghormati golongan wanita. Rata - rata perbualan lelaki - lelaki disekitar aku adalah wanita dianggap sebagai objek, lazimnya yang menjurus kearah perlambangan seksual. Entah kenapa mereka ini begitu kemaruk dengan perlambangan seksual ini, seolah - olah mereka mangsa trauma penderaan seksual semasa kecil. Pada aku perkara pokok dalam membetulkan salah tanggap ini adalah dengan memberi penerangan dan pendedahan awal tentang perlunya kita menghormati wanita. Bukan sekadar ibu kita, malahan semua wanita di keliling mereka. Jangan berfantasi seksual berlebih - lebihan.
Jika berbicara tentang menjaga perasaan, di zaman serba pantas ini, banyak sekali kaum - kaum sejenis ku yang sewenang - wenang meng "update" status tentang menceritakan sisi kurang baik golongan wanita. Apa perlunya kita memperkecil - kecilkan mereka? Apa teruk sangatkah kaum wanita ini? Cermin dulu diri kita sebelum mahu memperkata tentang wanita sesuka hati. Jujur aku katakan, aku juga sebahagian dari sistem ini, tapi semenjak aku berkahwin dan punya anak kecil yang kebetulannya juga seorang perempuan, semakin hari aku rasa sebal dengan layanan mereka pada kaum wanita. Lelaki - lelaki di Malaysia khususnya Melayu, begitu tebal sifat patrirarkinya. Pada mereka, oleh kerana mereka lelaki, makanya segala keputusan perlu kata putus mereka. Patriarki total.
Tidak aku nafikan emang ada segelintir wanita yang memang benar - benar memperkuda lelaki. Justifikasinya mudah, mahu mencari kesenangan mudah secara total. Pada lelaki yang diperkuda, biar bodoh, tapi jangan diperbodoh. Dari segelintir ini maka lahir persepsi - persepsi negatif buat kaum wanita. Dek kerana sebiji durian, habis satu bonet kereta berbau durian. Paling penting dalam perkara ini adalah komunikasi. Betul cara komunikasi dan toleransinya, maka bahagia semuanya. Buat teman - teman, saudara - mara, dan juga aku sendiri, HORMATI WANITA dan HAK - HAKNYA. Buat wanita - wanita di sekeliling aku, kamu semua insan hebat. Setiap dari kamu punya keistimewaan sendiri. Percaya pada diri, makanya kamu pasti berjaya.! Pada lelaki, setiap kali ingin memperkotak katik wanita, cuba letakkan diri kamu di tempat mereka dan cuba bayangkan apa rasanya.
No comments:
Post a Comment