Thursday, January 12, 2012

Siapa Bodoh Siapa Pandai

Malam kelmarin aku berkesempatan menonton filem 3 Idiots. Sebuah filem Bollywood yang pada aku sangat bagus untuk buat kita berfikir tentang apa yang kita lakukan sehari - hari. Ini bukan review filem 3 Idiots. Ini cerita tentang betapa bodohnya kita dalam menganalisa kehidupan kita. Bila aku kenang balik zaman kecil aku dulu, atau spesifiknya zaman waktu aku sekolah rendah, aku beruntung sebab mak bapak aku bukan jenis yang terus - terusan menekan aku untuk belajar dan dapat markah yang tinggi setiap kali peperiksaan. Aku dapat belajar dengan santai dan mak aku jarang sekali memaksa aku untuk belajar. Mak membiarkan aku memupuk sendiri naluri aku dengan cara aku. Aku bebas main pasir, mandi parit dan panjat pokok kerana bagi mak dan bapak aku itu juga adalah salah satu cara belajar. Tapi sekarang mak bapak bila tengok anak main pasir sikit mata dah terjengil dan pekik maki pun kedengaran. Bila budak nak belajar kalau asyik kena marah. Ia semua berbalik kepada apa yang kita mahukan dalam hidup kita.

Tidak aku nafikan, masa zaman aku kecil dulu, ada diantara teman - teman ibu bapaku yang begitu taksub dengan keputusan peperiksaan anak - anak mereka. Aku bersimpati pada teman - teman aku yang kena sebat, kena ikat di pokok, kena libas dengan paip getah semata - mata sebab markah tidak mencapai standard yang ditetapkan oleh ibu bapa mereka. Apa yang ada pada markah peperiksaan ini semua sampai mereka sanggup memperlakukan anak - anak mereka sedemikian rupa. Jawapan hanya satu, untuk perasaan bangga. Bangga pada orang lain, bangga dengan saudara mara. Pada perasaan bangga itu pula ada sulaman maruah kononnya. Seolah - olah kalau anak tidak dapat markah tinggi, seolah - olah anak itu telah menconteng magic colour ke muka mereka dan mereka akan merasa seperti badut yang kehilangan hidungnya.

Bangga itu langsung tidak ada guna satu sen pun dari segi ekonominya. Bukan boleh KFC dengan perasaan bangga itu kalau korang takde duit. Cuba bawa slip keputusan periksa dan cakap depan budak cashier "Anak saya dapat 100 markah, saya nak beli 1 barrel ayam goreng dan saya nak bayar dengan perasaan bangga dan slip periksa anak saya, boleh?" Mestilah tak boleh! Dan cashier tu pun pasti akan berkata  dalam hati, apa ke bodohnya orang ini.

Berbalik ke zaman sekolah tadi, seingat aku kami dibahagikan pada dua kelas. Kelas Mawar dan Kelas Melur. Kelas Mawar untuk budak - budak yang sekolah kategorikan sebagai pandai dan Kelas Melur untuk untuk mereka yang kurang pandai mengikut terma sekolah. Jadi kita dapat lihat disini sekolah secara tidak langsung telah menggunakan sistem kasta dengan berlindung disebalik pembahagian kelas pandai dan kurang pandai. Kita semua digredkan seperti telur ayam. Yang pandai akan diberi lebih perhatian supaya rating sekolah meningkat manakala murid yang "lambat menerima" dibiarkan terkapai - kapai. Ini realiti kerana cikgu sendiri lebih suka mengajar pelajar yang lebih cepat menerima ini berbanding murid yang lambat menerima. Nak senang kerja rasanya dan mungkin sedikit prejudis. Aku bukan anti guru, tapi anti pada guru yang pilih kasih terhadap pelajarnya. 

Aku melihat sistem pendidikan semasa aku kecil adalah lebih kepada konsep menghukum dan bukannya mendidik. Sebagai contoh murid - murid yang agak lambat untuk menguasai ejaan, bacaan dan kiraan akan ditempatkan disebuah kelas pemulihan atau lebih kepada sebuah rumah pasung. Dengan suasana seperti sebuah rumah hantu dan langsung tiada jiwa atau ambience semangat pada struktur itu. Secara logiknya, macam mana seorang murid hendak menjadi lebih baik dengan keadaan persekitaran yang menyeramkan seperti itu. Ditambah pula dengan guru yang seperti acuh tidak acuh untuk mengajar dan kerap naik angin dengan tidak semena - mena. PMS sepanjang masa gayanya atau mungkin tertekan kerana dia juga ditempatkan di rumah hantu itu. Murid - murid ini seolah - olah sedang menerima hukuman kerana tidak pandai membaca dan menulis disamping ditemani guru garang yang seolah - seolah berperwatakan warden penjara lagaknya. Kelas itu menjadi penjara untuk memisahkan kelompok yang lambat menerima itu dengan kelas biasa. Kononya supaya mereka diberi lebih perhatian dikelas pemulihan, atau pada hakikatnya hanya dibiarkan. Pentadbiran sekolah menganggap mereka sebagai "rotten tomatoes" dan harus diasingkan. 

Kenapa perlu diasingkan mereka ini dari kelompok murid - murid yang lain. Ini kejam dan tidak adil. Mereka juga perlu perhatian yang sama, nasihat yang sama dan bukan kata - kata nista. Teringat aku pada satu peristiwa di mana seorang guru memperbodohkan seorang murid dengan meludah air liur  ke dalam mulut murid tersebut dengan alasan kononnya untuk buat murid itu menjadi bijak setelah menelan air liur cikgu itu. Kejam dan sungguh tidak beritika.Tapi akhirnya, tuhan sendiri yang tahu apa yang terjadi pada murid itu. 

Meminjam kata - kata dari Soh Hok Gie, "guru bukan dewa dan selalu benar,dan murid bukan kerbau". Guru pun ada salahnya dan kita murid berhak menegur. Tapi ego mereka sebagai guru dan orang yang lebih tua sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Maka murid pun akan mula menyampah dan kurang minat terhadap guru dan pelajaran dalam masa yang sama. Dalam hati kecil mereka, pasti akan berkata : - "biarlah cikgu terjun bersama labu - labunya".

Ibu bapa kita pula, malahan kita dalam tidak sedar didoktrinasikan dengan satu kepercayaan bahawa menjadi pertama itu adalah segalanya. Bukan abjad atau nombor durja yang kita kejar. Paling utamanya adalah partisipasi dalam kecemerlangan. Maka bila itu berlaku makanya kejayaan pasti menyusul. Kita bebaskan diri kita dari sistem persekolahan yang memenjarakan jiwa dan bakat kita yang sebenar. Sistem persekolahan ini perlu diubah dan perlu diliberalisasikan. Jangan jadikan murid - murid ini tikus makmal dengan mengasingkan mereka mengikut gred dan menjadi bahan uji kaji kepada dasar pendidikan yang sering ditukar ganti pak menteri. Bebaskan diri, jangan jadi hamba kepada sistem. Berani buat pilihan. 


No comments:

Post a Comment