Tuesday, April 25, 2023

Raya Renyai Renyai

Hujan turun dengan lebat,
Makanya Selamat,
Tak perlu keluar salam berjabat,
Tarik gebar biar hangat,
Mata kuyu merapat,

Begitulah cerita raya hari ke empat.

Abjad Durja 
Bercerita Tentang Raya


Monday, April 24, 2023

Cenderamata Gembira

Raya yang gila

Hari Raya,
Beban atau gembira?
Bunyinya gegak gempita,
Persiapan bagai nak gila,
Yang tiada di ada - adakan juga,
Tapi sebenarnya ini untuk apa?

Kepuasan kita?
Atau sebenarnya nak tunjuk pada saudara,
Yang kita sebenarnya satu level dengan mereka,

Berjuta belanja,
Di atas namakan pada gembira,
Gembira tak pernah mintak itu semua,
Gembira yang senyumnya sebenarnya duka.

Ini baru hari ketiga,
Orang kita beraya sepurnama lamanya,
Bayangkan kegilaannya.



Abjad Durja
Malam 3 Hari Raya 
Masih tidak dapat merasakan apa itu sebenarnya Hari Raya 


Wednesday, April 19, 2023

Asyik

1 Kali
2 Kali 
3 Kali
Masih belum diendahkan,
Ada yang lebih asyik,
Ada yang lebih segar,

Sampai ada masa,
Kita pura - pura lupa,
Melupakan untuk bertanya,

Ya sehingga baris ke 11 ini,
Masih leka,
Asyik dengan alam maya.



Abjad Durja
2 Hari sebelum Hari Raya
Jalan Saga.


Wednesday, July 19, 2017

Bagaimana Bahasa Mencorak Hidup Kita.

"Kampa"
"Hambaga Tok"

Ini dua perkataan yang aku sering dengar dari mulut Ava dan Alexa.
Mereka berdua sering bermain "role play" pekedai/pembeli dan juga
pelanggan/pelayan. Mendengar dari bunyi perkataan tadi dan gaya
lenggok mereka menuturkan, aku percaya yang itu adalah perkataan
Jepun. Aku ada kisah tentang bahasa Jepun ini.

Seingat aku semasa dipengajian dulu aku pernah mengambil subjek
Bahasa Jepun sebagai subjek tambahan wajib lulus. Kenapa aku
memilih bahasa Jepun? Kerana Mandarin terlalu mainstream,
Bahasa Perancis akan mebuatkan mulut berbau busuk dan aku sendiri
punya sejarah hitam sama bahasa Arab. Tentang bahasa perancis tadi
bukan kata aku, kawan - kawan yang kata semasa pengajian. Untuk
makluman semasa itu hanya terdapat 4 pilihan bahasa, Jepun, Mandarin,
Arab dan Perancis semasa di Puncak Perdana. Lain - lain bahasa kena berkelana
ke kampus Shah Alam.

Rasional aku memilih Bahasa Jepun kerana kelas masih banyak
kekosongan dan juga kerana ianya merupakan bahasa rasmi Doraemon.
Walhal sepanjang aku mengenal Doraemon tidak pernah sekali pun
aku mendengarnya bertutur dalam bahasa Jepun melainkan bahasa
Melayu sengau dalam bentuk alih suara. Dan sekali lagi, dengan kelas
bahasa aku membina kenangan.

Dek kerana bahasa Doraemon ini jugalah akhirnya aku kena extend
masa belajar. Aku ingat lagi, disuatu malam yang hening Mak bertanya,

"Tak study Bahasa Jepun ke? Katanya esok periksa"

Aku sambil baring - baring main telefon seraya berkata,

"Bahasa Doraemon je kok mak, mudah saja ni" 

Dan aku terus leka sambil bermain telefon sambil pura - pura
menyelak buku Nihongo Vol 1 dan pesan emak tadi perlahan -
lahan hilang ditelan malam dan aku ketiduran sampai ke siang.

Penyudahnya aku gagal Bahasa Jepun tahap satu dan terpaksa
mengulang kelas pada semester seterusnya. Sepanjang 3 semester
mempelajarinya, setiap kali aku semak keputusannya mak pasti
akan berkata

" Bahasa Doraemon je kok".

Dengan nada lucu walhal dia juga berdebar takut aku gagal lagi.

Kesan dominonya aku terpaksa extend dan berkenalan dengan kawan - kawan baru
yang dari luar lingkup kebiasaan aku. Seingat aku, semasa ini aku
kenal sama sekelompok gadis - gadis manis dari Kedah dan Kelantan
dan juga seorang lelaki peminat metal tegar bawah tanah bawah lagi
dari kerak bumi yang bercita - cita  menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik.
Langsung aku tak pernah dengar khabarnya lepas tamat pengajian. Sama ada
menjadi Pegawai Tadbir Diplomatik atau  sudah bertukar mendengar lagu
Didi and Friends seperti kebanyakkan lelaki seusianya, Sama seperti Tupus,
kami "lost contact" di zaman media sosial. Aneh bukan.


Gagalist Bahasa
Satu - satunya calon tumbang bahasa Arab dari 99 semuanya.


Sunday, July 16, 2017

Manusia = Sadis

Manusia

Kau tahu apa manusia suka?
Mereka sebenarnya
Amat suka pada kesengsaraan,
Yang lebih tepat menonton kesengsaraan orang lain.
Lagi tontonan itu derita,
Lagi galak gelak tawanya.

Mudah saja menekan butang - buta suka
Kononnya peka, kononnya kongsi duka,
Lancau semuanya..
Iya diulang sekali lagi
Lancau semuanya..

Pura - pura duka
Sebenarnya suka

Sadis

17.7.17
Bangun Pagi Tak Gosok Gigi
Dalam Sangkar Marmut

Friday, July 14, 2017

Malam Sabtu

Hawanya dingin,
Anak kecil ketawa,
Isteri berceloteh,
Anak besar mamai,

Si bapa merekod segalanya.

12.05 malam
Simpang 3 Ijok