Tuesday, February 21, 2012

Review Buku : Nurul Asyikin

Membaca buku karya Aloy Paradoks ini tidak ubah seperti menunggang mesin masa Doraemon dan Nobita. Ceritanya kejap ke depan kejap ke belakang. Agak unik. Satu perkara yang aku tertarik dengan buku Nurul Asyikin ini adalah cerita dalam setiap bab, diolah semudah mungkin tapi menarik. Kadang - kadang aku rasa macam bab itu perlu dipanjangkan lagi kerna setiap bab ada keunikannya sendiri. Aku andaikan ini adalah perjalanan hidup Aloy Paradoks. Dalam tempoh 7 kali aku ke Frinjan, hanya pada Frinjan 25 aku baru bertegur sapa dengannya. Orangnya sentiasa murah dengan senyuman. Itu tidak dinafikan. Naskah yang aku miliki ini punya tandatangan dari Aloy Paradoks sendiri. Ini karya beliau yang aku nikmati. Jujur aku belum membaca karyanya yang lain seperti Burgempak yang khabarnya bisa buat urat putus bila membacanya. Aku juga belum pernah melihat aksi - aksi teater bawaan Aloy Paradoks. Tapi setelah membaca Nurul Asyikin, aku rasa ada sesuatu yang menarik tentang anak muda ini. Ceritanya juga menarik. Tapi sedikit teguran buat naskah ini kerana ada beberapa typing error. Tidak perasan atau disengajakan. Aku sendiri tak tahu. Tapi semua langsung tidak menjejaskan untuk aku menikmati cerita ini. Ada sesuatu yang menarik tentang nama Nurul Asyikin itu sendiri. Kamu baca nanti pasti kamu akan dapat jawapannya. Untuk dapatkan naskah ini, boleh beli secara dalam talian di SeLUT PRESS atau boleh beli secara terus di Pekan Frinjan kerna aku beli langsung dari Aloy Paradoks di sana. Aku beri tiga setengah bintang dari lima bintang buat Nurul Asyikin. Salut buat mereka yang berani berkarya.

Perancangan Ijok Really - Really Free Market Kali Ke - 2



Ijok Really Really Free Market akan kembali lagi. Perancagan sedang dibuat untuk RRFM yang kedua. Kami akan bekerjasama dengan Projek Distro dan Terror Crew untuk menjayakan RRFM untuk kali yang kedua ini.

Tarikh dicadangkan   : Ahad Terakhir setiap bulan.
Tempat                     : Kaki Lima Kedai Moredream dan D'Mata Advertising

Kami menjemput kepada mereka yang berminat untuk menyertai acara gembira ini. Bukankah memberi itu satu kepuasan. Mari kita alami dan rasakan bersama -sama.  Kumpulkan barang - barang anda. Ayuh kita bergembira dengan memberi.

Soalan lazim tentang Really - Really Free Market :

Apa itu Really – Really Free Market?

Ianya seperti bazar jualan komuniti kecuali yang ini segalanya adalah percuma. Ya betul! PERCUMA! Semua dijemput datang, bawalah sekali apa jua pun untuk diberikan pada yang lain.


Ini samalah seperti konsep barter atau pertukaran barang bukan?

Bukan, barter dan bertukar barang adalah seperti begini; saya punya t-shirt yang bagus, apa yang awak ada untuk ditukarkan? RRFM pula adalah seperti begini; saya punya tshirt yang bagus ni. Saya tidak memakainya lagi, rugi kalau terbiar begitu sahaja. Kalau awak mahukannya, nah! Ambil sajalah.


Kenapa pula saya mahukan melakukan sesuatu seperti itu?

Kerana anda sudah mempunyai terlalu banyak barang! Kerana anda akan akhirnya membuangkannya juga kelak. Kerana memberi boleh jadi satu kepuasan. Adakah anda mempunyai pelbagai barang yang menyemakkan rumah anda? Barangkali ada beberapa barang yang anda tidak memerlukannya lagi, tapi anda sedar akan ada sesiapa diluar sana yang mahukannya. Sesuatu yang dianggap sampah buat seseorang itu boleh bertukar jadi barang bernilai buat seseorang yang lain!


Apa yang perlu saya bawa?

Bawalah apa jua “barang anda” ke RRFM. Barang, makanan atau minuman, tawaran perkhidmatan,kemahiran yang anda miliki dan mengajarnya pada orang lain. Membuat pertunjukkan atau sebarang yang lain.!
Bagaimana jika saya tidak mempunyai apa – apa untuk diberikan?
Semua orang mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada orang lain. RRFM bukan hanya untuk memberi barang. Apa pekerjaan yang anda lakukan? Apa kata datang saja ke RRFM dan fikirkan cara bagaimana menawarkannya pada orang lain, kecuali kali ini lakukannya secara percuma. Untuk sekadar suka – suka. Ianya satu hadiah pada orang lain, Hadiah kepada diri anda juga. Ia adalah satu jalan untuk meletakkan kembali pengertian dalam pekerjaan anda, untuk diberikan sebagai hadiah, tanpa perantara kewangan.


Siapakah yang mengendalikan RRFM?

RRFM boleh digambarkan terdiri daripada sejumlah hadirin yang menyertainya. Pemberian yang anda bawa ke acara ini, membantu melangsung acara tersebut buat yang lain begitulah dengan apa yang orang lain bawa ke acara melangsung acara ini untuk anda. Buat masa ini Cuma beberapa antara kami yang menggerak struktur bagi RRFM berjalan. Namun, adalah menjadi harapan kami kelak peranan kami di dalam RRFM akan sama seiring dengan yang lainnya. Yakni, setiap dari kita yang akan menentukan tahap pembabitan diri kita sendiri.


RRFM adalah milik anda!

Ambillah kesempatan ini. Teruskannya seperti apa yang anda inginkan! Jika anda mahu melihat sesuatu berlaku di RRFM tetapi tidak pernah menyaksikannya menjadi, maka pastikanlah ia berlaku! Jika anda mahu melihat ramai orang hadir ke RRFM, silalah bantu lakukan sebaran tentangnya! Hantar email kepada kawan – kawan anda, buat dan sebarkan risalah (buat sendiri atau muat turun dari laman sesawang), atau beritahu secara semuka tentang RRFM kepada orang lain

Monday, February 20, 2012

Laporan Ijok Really Really Free Market - #1

Syukur kepada yang satu kerana apa yang dirancang berjaya mencapai matlamatnya. Terima kasih kepada yang memberi sokongan material dan spiritual bagi menjayakan acara ini. Acara bermula seperti dirancang iaitu tepat pada pukul 8 pagi. Pagi itu hujan renyai - renyai menyambut acara sulong ini. Setelah selesai menyusun barang, aku sarapan sebentar. Sosok pertama yang hadir adalah Icat, seorang anak pada kenalan  emak. Pada mulanya dia sekadar berlegar - legar dan terpinga - pinga tentang untuk apa semua ini. Aku menerangkan tujuan acara ini dan dia  mula  memanggil teman - teman yang lain. Maka datanglah Azim (Anak Cik Bayan) dan rakan datang memilih barang - barang yang disediakan. 

Selain dari memberi barang percuma, acara ini juga seperti piknik santai dengan cuaca pagi itu yang begitu mesra dengan kami dan bau rumput basah yang buat aku tenang membaca buku Nurul Asyikin karya Aloy Paradoks (Sebentar nanti aku bikin review buat buku ini. Sedang asyik aku berguling - guling membaca naskah, Izan datang memberi sokongan. Kemudian Fitri dan Sidin. Izan membawa sejenis cup cake yang enak dari Indonesia. Suasana piknik itu benar - benar hidup. Kredit diberikan pada isteriku, Mak dan Abah, Kamal D'Mata, Kak Ida Cha'ai dan lain yang memberi sumbangan barangan.
Gembira bila keluarga dan teman hadir memberi sokongan. Sesi penerangan kepada adik - adik yang hadir juga lancar dan santai. Input - input dari teman - teman juga diambil kira tentang acara yang akan diadakan pada masa akan datang. Paling seronok bila Abang Lan Taram hadir bersama komrad - komradnya. Abang Lan datang dengan basikal lejennya dan komrad - komradnya datang dengan menunggang bas dari Simpang 3 Ijok. Mereka ini adalah homeless yang ada di Ijok. Nah siapa kata Ijok tiada homeless. Rumah mereka terbakar 2 bulan sudah, tapi disebabkan mereka ini dilabel sebagai gila oleh masyarakat sekeliling, maka hingga sekarang mereka tinggal di dalam van usang sebagai tempat berteduh. Kenapa perlu double standard pada orang seperti mereka kerna mereka juga manusia seperti kita yang punya hak sama rata. Banyak perkara yang aku belajar dari mereka sebenarnya. 90% daripadabarang yang disediakan berjaya diberikan pada mereka yang mahukannya. Sedang merancang untuk Really Really Free Market yang seterusnya. Mungkin akan berlangsung pada Ahad terakhir pada setiap bulan. Lokasi akan diberitahu dari semasa ke semasa. Terima kasih pada semua yang memberi sokongan. Terima kasih.




Nota : Niat dihati mahu menganjurkan benefit gig atau showcase bagi membantu keluarga Abang Lan Taram bagi membantu membina pondok atau rumah kecil bagi mereka berteduh. Walaupun mereka lain, mereka juga manusia seperti kita. Akan diusahakan.

Tuesday, February 14, 2012

Antologi Abjad Durja #6 : Bintat Birat Nikmat Cinta Sebat

Malam ini makannya pasti lazat - lazat,
Buat umpanan bersedap - sedap,
Duduk nanti pasti rapat - rapat,
Untung bisa berpeluk ketat - ketat.

Tapi awas perlu diingat - ingat,
Musibat sentiasa memasang jerat,
Bila nafas tersekat - sekat,
Takut - takut ada yang melekat - lekat,

Berbirat - birat, berbintat - bintat,
Dek kerana melepas nikmat,
Bila perut mula membusung sendat,
Tiba - tiba baru teringat rejam dan sebat.

Hak semua merai cinta,
Tapi harus berpada - pada,
Kerna malam ini siluman menunggu mangsa,
Bukan paksa, bukan perkosa,
           Pujuk rayu ternoda rela......

Sunday, February 12, 2012

Hersher : Sebuah pengajaran dari seorang nihilist


Ini bukan review filem, macam aku review buku sebelum ini. Aku hanya nak menulis tentang filem Hesher yang aku tonton bersama isteri aku pagi tadi. Pertama - tamanya, aku beli dvd ni sebab aku tertarik dengan layout cover dia. Seakan - akan macam font type yang Metallica gunakan. Dark Comedy arahan Spencer Susser.

Cerita tentang keluarga yang muram durja, ada bapak, anak dan nenek. Mak pulak mati sebab eksiden. So bapak pulak jadi depressed dan anak pulak depressed sebab tengok bapak jadi depressed. Aku yang taip ni pun  jadi depressed sebab tulis banyak sangat perkataan depressed. (Damn, apa aku tulis ni.)

Jadi berbalik kepada movie ni tadi. Dalam kesedihan diorang ni. Tiba - tiba muncul pulak mamat nihilist (kalo tak faham maksud sila google) yang namanya Hesher dalam hidup diorang. Hesher ni memang selamba gila duduk dengan family yang murung ni tadi. So macam la terjadi sejak Hesher ni muncul dalam hidup diorang, terutamanya si anak, T.J yang selalu jadi mangsa buli. 

Pada aku, Hesher ni datang semacam utusan yang tak diundang untuk ubah kehidupan diorang. Semua orang ada masalah dan masalah tu pulak tak akan selesai kalo kita asyik meratap masalah dan duduk sudut dipenjuru bilik. Sampai bila. Sebenarnya benda macam ni memang banyak terjadi kat dalam masyarakat. Bila ada masalah, yang paling utama ialah komunikasi, yang mana komunikasi ni la yang akan membantu kita dalam nak setel masalah kita. Sebenarnya aku paling menyampah bila orang cuba letakkan masalah pada orang lain atau entiti lain sedangkan terang - terang masalah tu puncanya daripada kita sendiri. 

Contohnya bila T.J kena paksa kene makan urinal cake kat toilet dan dia salahkan Hesher sebab tak tolong dia. Pada aku Hesher nak didik T.J supaya bangun melawan dan jangan biar diri dia kene buli. Benda - benda macam ni berlaku dalam masyarakat kita sebenarnya, contoh orang salahkan saka bila ada masalah atau mereka berperangai pelik. Bullshit! Aku tak nafikan yang benda - benda mistik macam tu wujud, tapi tolong la jangan nak salahkan benda - benda tu semua kalo korang sendiri tak tau nak behave dan setelkan masalah tu. Sekadar contoh. Pada aku semuanya berbalik kepada komunikasi.

Masa Hesher layan bong dengan nenek T.J., masa tu nenek dia rasa yang that time was the best moment bila ada orang amik berat dan cuba nak berborak dengan dia. Dan Hesher adalah orang yang pegang pada janji. Even nenek dah mati, dia dengan rebelnya bawak keranda nenek T.J. jalan - jalan kat pekan. Kadang - kadang, contoh yang baik, nasihat yang berguna bukan semestinya datang dari orang yang baik, bersih atau suci (atau sebenarnya pura - pura nampak suci). Kadang - kadang kita perlu belajar dari mereka sering dilabel sebagai sampah, orang tak guna, orang takde masa depan (label - label biasa yang orang bubuh pada orang yang lain dari lain). Kita belajar dari semua. Anak belajar paham bapak, bapak belajar tentang anak, menantu belajar tentang mentua, mentua belajar dengan menantu dan suami belajar tentang isteri dan begitu pulak sebaliknya. Jangan malu nak mengaku kesilapan diri. 

                                      " Kita bukan Letratag yang bisa melabel siapa - siapa" 

Antologi Abjad Durja #5 : Desa Binasa

Dulu ya, desa ini aman sekali,
Tiada jerit noda pekik durja,
Tapi kini seperti diduga
Habis semua dijarah teroka,
Yang tinggal masam mencuka.

Siluman jentera bergelak ketawa,
Berceracak besi berdiri gembira,
Yang melawan dicemuh nista,
Oleh Sang Manusia yang seringkali mengaku dewa.

Ijok - Rumah Merah Jambu
Hati robek melihat kampung halaman di ratah jentera.

Wednesday, February 8, 2012

Projek Distro

Kali ini aku akan bersurah tentang projek terbaru aku bersama teman - teman aku iaitu PROJEK DISTRO.  Apa itu Projek Distro? 

Tentang Projek Distro
Projek Distro pada asalnya adalah kolaborasi antara empat manusia yang pada tujuan asalnya untuk menyelit dicelah - celah komuniti seni kreatif dan dalam masa yang sama cuba menarik minat membaca dikalangan masyarakat. (Ini ayat serupa DBP pulak).

Selain itu, Projek Distro bertindak memperkenalkan dan memasarkan hasil keluaran kami dan komrad - komrad yang lain dalam bentuk seminimal mungkin dan berkualiti pada kadar harga yang berpatutan. Kesemua hasil seni yang kami cuba sampaikan adalah dari air tangan kami sendiri dan komrad - komrad yang  lain samada secara langsung atau tidak langsung. 

Kami di Projek Distro membuka ruang dan peluang seluas - seluasnya kepada teman - teman dan mereka yang mahu melibatkan diri secara langsung dalam menjayakan Projek Distro. Dalam masa yang sama kita dapat mencambah idea - idea baru untuk dikongsi sekaligus memperkenalkan Projek Distro ke khalayak ramai agar diterima seadaanya dalam kami mengetengahkan konsep seni bawaan kami.

Sokongan kalian amat kami perlukan agar kami bisa sukses gembira dan riang dengan apa yang cuba kami bawakan. - Projek Distro 

Penggiat dan Pengkarya 
Buat masa ini, hanya tinggal aku dan @arifyatim yang akan aktif kerana dua lagi perlu berehat seketika kerana  @misssweetlily sudah preggy dan @Nurmizly sudah menyambung kembali kuliah perguruannya. 


Ini Arif Yatim a.k.a Arif Muhamad (Nama komersil muka bukunya). Bertindak sebagai graphic artist a.k.a graphic designer bagi Projek Distro. Bekerja mencari makan juga sebagai graphic designer di D'mata Advertising yang mengkhusus dalam percetakan iklan, banner, bunting dan apa saja yang berkaitan aktiviti cetak mencetak. Maka ini orangnya.
Selain agak otai dalam graphic design, Arif juga berbakat dalam seni lukis - melukis yang menggunakan berus lukisan. Seorang yang serius bila bekerja dan riang ria bila bergembira. Jika mahu melihat hasil seni Arif, boleh berkunjung ke Taman Ikan di Bukit Melawati untuk melihat hasil mural pada skala besar yang pernah dihasilkan beliau. Sedang berjinak - berjinak dalam penghasilan seni lukisan pada sepatu. Ini antara karya sulong beliau dalam pembikinan seni sepatu :


Aku a.k.a Bahar Nordin a.k.a Street Inker a.k.a Abjad Durja. Punya la banyak nama kononnya. Beraksi sebagai silkscreen artist sebagai kerjaya di studio cetak baju More Dream. Bermain dengan rubber dye dan emuslsi sudah menjadi aktiviti sehari - hari. Sedang dalam usaha mengasilkan sebuah antalogi prosa dan puisi Abjad Durja (Moga jadi kenyataan, doakann ya). Bertindak sebagai promoter Projek Distro dan bakal membuka booth menjaja di tepi - tepi jalan menjual hasil kreatif Projek Distro. Seorang gila yang gemar ketawa sambil membaca. Untuk melihat hasil karya kerja cetak tariknya, boleh kunjungi laman muka bukunya disini.

Nota : Kredit buat @Nurmizly untuk ayat pengenalan Projek Distro

Tuesday, February 7, 2012

Review Buku : Punk Rock - Disebalik fesyen dan muzik bising

  Kalau mahu belajar dan paham apa itu punk rock, maka ini bukunya. Buku ini adalah garapan dari 10 orang penulis yang pernah aktif dan masih aktif dalam scene punk rock khususnya. Buku yang diselenggara oleh Nizang (Dum Dum Tak) dan Dhani Ahmad (Goblog). Buku ini adalah dokumentasi perjalanan scene punk rock / hardcore mengikut acuan penulis - penulis yang terlibat dalam pembikinan buku ini. Buku ini menekankan tentang apa perlu kita paham tentang punk. Ya, punk bukan sekadar fesyen dan muzik. Punk itu luas tafsirannya. Punk is idea, and idea is bullet proof.

 Aku tertarik pada hasil tulisan Mat Yie yang membentangkan ideanya dengan begitu bernas. Disini terang - terang membuktikan bahawa punk itu intelektual dan bukan pemakan sampah seperti yang sering dimomok media mainstream kawalan daulah. Keyword utama bagi buku ini adalah idea. Punk itu idea, bukan sekadar ikut - ikutan membabi buta (Tidak dinafikan, memang ada yang ikut membabi buta). Itu beza punk yang membaca dengan yang tidak membaca. Buku ini pastinya akan membuat pembaca lebih paham tentang apa itu punk, ideologinya dan praktikelnya (aku petik kata - kata ni dari Dhani pada Introduksi buku ini). Bila korang baca buku ni, secara tak langsung korang akan teroka 'punk' yang sudah sedia ada dalam diri korang. Kerana punk itu idea.

Satu perkara yang aku baru tahu, selama ni aku dengar lagu Inikah Hidup, baru hari ini (itu pun lepas baca buku ni) aku tahu yang Nizang adalah vokalis untuk Inikah Hidup. Bila baca buku ni, teringat pada zaman hc/punk dan buku ini semacam imbasan sejarah yang patut dimiliki oleh setiap orang yang merasakan diri mereka punk. Aku salut pada mereka yang terlibat dalam pembikinan buku ini, daripada penulis, penerbit dan penyelenggara buku ini. Aku beri lima bintang buat buku ini. Untuk memesan buku ini, boleh dapatkan daripada Deleted Book Press atau langsung beli di pekan Frinjan akan datang (aku beli kat situ)

Thursday, February 2, 2012

Hilangnya Percaya pada Jabatan, Lembaga & Majlis yang Menjaga Agama.

Sebelum aku mula dengan panjang lebar, aku ingin tegaskan bahawa aku bukanlah orang alim ataupun moralist. Apa yang aku ingin aku kongsikan di sini adalah tentang apa yang aku tengok dari pengamatan aku sendiri. Aku rasa sedih dan malu dengan apa yang berlaku dengan tiga entiti berikut yang kononnya diamanahkan dalam menjaga hal ehwal agama Islam, tapi sebenarnya menjadi ejen perosak kepada agama itu sendiri.

Biar aku huraikan disini moga tiada yang salah faham. Apa yang aku cuba perkatakan disini adalah bila sebuah entiti yang diamanahkan untuk menjaga hal ehwal berkaitan agama tapi dalam masa yang sama mengkhianati tanggungjawab itu. Apa yang aku ceritakan ini semua adalah berdasarkan kepada pengalaman aku yang pernah menjadi vendor untuk beberapa enititi berikut. Paling aku ingat sewaktu aku berurusan untuk membekalkan barangan yang diperlukan, aku perlu untuk membayar wang ufti kepada mereka yang akan menguruskan pembelian tersebut. Damn!, aku berkata sendiri dalam hati. Aku ingat benda ni cuma berlaku dalam jabatan - jabatan kerajaan saja, rupa - rupanya dalam entiti organisasi agama ni pun ada juga. Berlindung disebalik topeng agama, dalam masa yang sama merampok dana yang ada bagi pembangunan agama itu sendiri. Dan ufti itu pulak ada yang flat rate dan ada yang mengikut persen projek. Welcome to the capitalist world. 

Bila aku melihat mereka bermewah - mewah dengan harta rompakan ini, aku jadi sakit hati. Dalam mereka seronok rompak duit ini secara berhemah, masih ramai lagi orang Islam yang diluar sana masih susah dan hidup merempat. Sedang mereka berseronok - seronok dengan hasil "cukai" yang dirompak dari projek - projek tadi. Seperti yang semua maklum kutipan zakat untuk tahun 2010 sahaja sudah melebihi RM300 juta (Sila rujuk website Lembaga Zakat Selangor). Duit banyak, tapi disalah guna. Dan orang diamanahkan pula tu pula yang melakukannya. Bukan semua, tapi ada segelintir borjuis - borjuis kecil dalam entiti itu yang haloba. Senyum aku bila ada mereka yang berkata, "kalau saya tak ambik, orang atas pun nanti ambik, lagi banyak". What the fuck? Itu bukan duit korang la! 

Dalam pengangihan pula, aku tengok biasanya time nak raya, orang - orang yang tak layak dapat zakat pun dapat. Apa cerita pulak ni? Pada aku, selagi korang mampu berkereta, dan mampu pasang astro kat rumah, korang tak layak pun untuk terima bantuan. Dimana silapnya, silap tukang ambil nama atau silap tukang semak pemberi bantuan. Sama - sama kita fikirkan. Atau sebenarnya bergantung pada semangat kroni yang menebal. Dalam erti kata lain "kroni didahulukan, keuntungan diutamakan". Sampai bila perkara ini akan berterusan? Selagi duit buat orang kelabu mata dan jiwa, selagi itu perkara - perkara jelik ini akan berterusan. 

Satu lagi perkara yang menarik perhatian aku ialah bila aku melihat kelompok - kelompok madrasah yang meminta bantuan di kaki lima jalan. Mungkin ada yang betul, dan mungkin ada yang menipu. Dan jika menipu, perkara paling mudah adalah dengan bertopengkan agama. Apa kaitan madrasah ini dengan eniti - entiti berikut?. Jawapannya mudah, entiti tersebut diwujudkan bagi membantu pembangunan dalam mengembangkan agama itu sendiri, tapi dimana mereka bila madrasah - madrasah ini memerlukan bantuan sehingga mereka terpaksa meminta bantuan ditepi -tepi jalan dan kedai makan. Oh terlupa yang entiti -entiti ini punya banyak birokrasi itu ini. Sekali lagi Islam itu rugi kerana birokrasi entiti yang kononya menjaga agama itu sendiri. Dan jangan salahkan agama lain bila mereka memberi bantuan kepada orang Islam. 

Perkara yang paling memualkan pula bila mereka - mereka yang yang mengetuai entiti - entiti ini seolah - olah seperti tidak boleh ditegur. Maksum barangkali. Setahu aku, Islam itu agama yang nasihat menasihati dan agama perbincangan. Tapi mereka - mereka ini seolah - olah wakil tuhan yang langsung tidak boleh disentuh atau ditegur. Jika buat salah, lagi disorok - sorok adalah. Banyak lagi yang aku nak kongsi bersama tapi aku rasa semua orang pun dapat tengok dan nilaikan sendiri. Aku bercakap atas kapasiti aku sebagai manusia dan  cuba berkongsi pengalaman. Islam sebenarnya dirosakkan oleh orang yang mengaku Islam. Kerosakan yang dibuat tanpa sedar, bawah sedar atau dengan sedar. Aku rasa kata - kata Syeikh Mohammad Abduh ada benarnya. :

 "Aku melihat Islam, tapi tidak melihat Muslim. Dan aku melihat Muslim, tetapi aku tidak melihat Islam"

Kita sebenarnya sangat kurang dari moral dan nilai siviknya, nilai - nilai kemanusian  dan nilai Islam dan biasanya selalunya aku dapat tengok dengan banyak bila bulan ramadhan, kerna masing mahu menunjuk siapa lebih Islam tapi sebenarnya mereka tak memahami konsep beragama itu secara total. 

Just my opinion. Sendiri baca, sendiri fikir.

Wednesday, February 1, 2012

Review Buku : Awek Chuck Taylor

Buku ini antara buku yang berjaya membuat aku untuk melekat membaca dan habiskannya dalam masa satu malam. Aku suka jalan ceritanya. Buku ini bersahaja, tapi ada jiwa. Bukan berlebih - lebih, tapi ini benarnya. Cerita tentang Hafiz, Mira dan Nana secara fokus utamanya. Perhubungan yang mengajar Hafiz untuk melihat dunia dari satu sisi berbeza. Aku suka pada jalan cerita yang mendidik seperti buku ini. Cerita yang membuat aku teruja untuk google nama - nama tokoh yang disebut dalam buku ini. Cerita cinta remaja hipster anarkis yang tampak biasa - biasa, tapi epik. Epik pada caranya tersendiri. Buku karya Nami Cob Nobbler a.k.a @comradenami pada akaun twitternya. Penulis adalah tuan punya tanah blog Teh Tarik Gelas Besar. Novel buat aku ketawa, buat aku terdiam, buat aku rasa ingin tahu. Simple, tapi cukup adunannya. Buku ini asalnya bermula dari blovel, tapi jujur aku tidak pernah membaca blovelnya pun. Untuk suku pertama 2012 ini, aku nobatkan Awek Chuck Taylor adalah antara yang terbaik. Ini pandangan aku. Satu perkara yang aku pelajari dari novel Awek Chuck Taylor ialah seganas mana, senakal mana, segarang mana atau seanarkis mana pun seseorang itu, perasaan cinta itu pasti anda. Samada untuk dicintai atau mencintai. Awek Chuck Taylor merungkai persoalan itu. Dapatkan novel ini dari Lejen Press. Aku beri 4 bintang dari 5 bintang buat Awek Chuck Taylor. Terasa sekali ingin bertemu dengan Mira, si hipster anarkis.

Cinta Malam Ini

Hanya kita berdua malam ini,
Ditemani mimpi - mimpi,
Khayal memandang sang pari - pari,
Ini realiti atau sekadar fantasi,

Bila kita berdua malam ini,
Pasti ada yang iri hati,
Dalam hati memaki - maki,
Tapi kita..tidak peduli.

Gemersik malam dingin sekali,
Dalam dakapan, ku raih cintamu,
Kan ku tuntun perlahan jiwamu,
Biar sebati, sampai mati,

Tapi...kau langsung tak peduli,
Runtun cinta ini tersasar lagi,
Kau sekadar inginkan coklat Cadbury,
Bukan ratap cinta tidak bertepi.

Hah..aku perasan sendiri.
Sekali lagi.