Sunday, December 30, 2012

Carta Pai Kehidupan : Sebuah Analisis Longgar

Kredit foto : www.psychologytoday.com
Tahun 2012 hampir sampai ke penghujungnya, dan disaat jariku mengetak - ngetik aksara di atas papan kekunci hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum 2013 muncul mengenalkan diri. 2012 adalah tahun penuh rezeki buat aku, keluarga dan studio cetak. Syukur dan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan selama ini. Entry kali ini sebenarnya adalah satu permintaan khas dari isteri aku tentang perkara - perkara yang sering kami bincangkan bersama semasa dalam kereta dan semasa nongkrong nonton telivisi. 

Perkara yang sering kami bincangkann bersama adalah tentang keadilan tuhan. Bunyi macam berat, tapi sebenarnya adalah analisis longgar tentang kehidupan yang kami perhatikan sehari - hari berlaku di sekeliling kami. Antara yang paling kerap dibincangkan adalah tentang soal rezeki. Kadang kami tertanya - tanya macam mana agaknya mereka yang punya pendapatan rendah dapat suvive dalam dunia yang aku kategorikan sekarang sebagai dunia yang serba mahal. Aku sering kata pada isteri, walaupun pendapatan mereka kurang, tapi tuhan pasti bagi lebih dari satu aspek yang lain. Mungkin lebih dari segi bilangan anak dan sebagainya, atau mungkin mereka diberi kelebihan kurang stress dalam kerja seharian mereka. Mungkin bagi mereka yang punya pendapat lebih akan punya lebih stress, siapa tahu? Sekadar meneka.

Tidak perlu terlalu jauh, aku cuba analisis diri sendiri berkaitan perkara ini. Sebagai contoh, dalam keterlibatan aku mengendalikan studio cetak, banyak masa aku habiskan masa di sana bagi menyiapkan tempahan pelanggan. Banyak tempahan makanya banyak perolehannya, syukur. Tetapi dalam pada itu aku kurang masa bermain dengan anak kecilku. Sedikit sedih, tapi aku rasa gembira bila aku bisa mencukupkan segala keperluan keluarga. Tapi ingat material bukan skala pengukur bahagia. Material adalah aksesori tambahan dalam mencari bahagia. Aku dan isteri tetap berpegang yang saling percaya, kasih sayang dan sokongan adalah perkara perkara pokok dalam berbagi bahagia bersama keluarga. 

Setiap mereka yang hidup di dunia ini punya carta pai mereka sendiri. Setiap mereka punya pecahan kebahagian mereka sendiri. Ada sikit ada banyak pecahannya. Bergantung dengan apa yang mereka lakukan  dalam kehidupan mereka. Rasanya para motivator di dalam kotak kaca juga sibuk melaungkan tentang - tentang itu dan ini kejayaan. Tapi pokoknya adalah individu itu, sama ada mahu atau tidak. Terpulang pada mereka. Kita sering kali suka melihat cawan orang lain.Ada orang cawannya cantik, diperbuat dari material yang baik, ada yang sekadar menggunakan cawan dari Republic Rakyat China, tapi yang pasti dalamnya adalah sama iaitu air untuk menghilang dahaga.

Kita ada perancanaan kita, makanya tuhan juga punya perancanaannya. Jangan marah - marah pada di atas sana andai kita sendiri tidak mahu mencari penyelesaiannya. Jika carta pai kita tidak seimbang dengan cantik, makanya kita perlu berusaha untuk mempereloknya, bukan sibuk masuk campur dalam carta hidup orang lain. Teringat aku pada satu kata seorang ibu pada anaknya dalam filem "Hafalan Shalat Delisa" - "Jangan kita rasa iri dengan apa yang orang lain ada, lebih - lebih lagi jika ianya milik saudara kita sendiri". 
Hidup ini lebih aman damai jika kita selalu bersangka baik. Lebih gembira, biar tua biologi, tapi muda semangatnya. Ingat kata - kata Max Havelar "Tugas manusia adalah menjadi manusia". 

Nota :

Artikel ini tribute buat Sang Cinta (Isteri) yang tidak pernah jemu memberi semangat supaya aku terus menulis. 2013 nanti bakal muncul dengan buku yang telah lama di bawah almarikan. 

Thursday, December 27, 2012

Cukuplah

Sejak dulu,
Bila manusia mula mencatat sejarah,
kau sering dipandang sebelah mata,
Dianggap ringan,
Se-enteng barang dagangan.

Patriarki angkuh meletak harga,
Sesuka mereka,
Meludah jiwa - jiwa ini sesuka,

  Tapi kenapa?..........
  Bukankah kita semuanya sama,
  Kau dan aku tiada bedanya.

Hei patriarki angkuh!
Kau lahirnya dari mana!
Barangkali dari jubur lelaki!
Rahim yang suci sering dianaktiri,
Sering sekali di letak disebelah kiri.

          Kerana bagi mereka, patriarki adalah yang paling kanan, paling suci.

Melolong melaung bagai polong,
Kononnya mereka yang paling agung!

Enak - enak kau ketawa,
Berdekah serakah,
Meratah jiwa, melempar maruah bagai sampah,
Girang kau melihat mangsa sakit mendesah,
Menahan derita dan amarah.

Kau rogol, kau cabul,
Kau tidakkan hak mereka,
Hanya kerana lainnya jantina.

Hei patriarki angkuh!
Tiap jiwa ada harganya,
Tiap nafas ada nyawanya,
Tiap jantina ada nilainya,
Jangan sekali kau berani menghina.

Nota:
Tribute buat mangsa serakah bangsat lelaki bacul yang sedang bertarung nyawa.
Moga selamat. Yang telah pergi, moga aman disana.

Wednesday, December 26, 2012

Yang Terlintas : Cinta Tanpa Akal = Goblok

Pedihnya masih terasa,
Bahangnya masih menbara,
Rasanya berhari sudah berlalu,
Hangat amarah dalam diri masih jelas terasa.

Tenung tepat ke arah siling,
Cuba - cuba muhasabah,
Coba - coba audit diri,
Terlalu berat untuk dipikul sendiri.

Kenapa mesti terjadi,
Bukan takdir yang ditangisi,
Apalah bodohnya diri,
Dicipta dilahir bersama otak kanan dan kiri,
Ditiup akal supaya berfungsi,
Tapi lihat apa yang terjadi,
Gagal analisi, bobrok fungsinya lalu memakan diri.

Nota :
Kebanyakkan manusia terjerumus kedalam goblok total bila
terjebak dengan cinta.















Cinta Pembodohan - Marjinal

Review Lit / Zine : Fragranfrantik Isu #2

Kredit foto : naskahpercuma.blogspot.com

Rasanya ini pertama kali aku mengulas tentang zine. Fragranfrantik isu 2 keluaran November 2012. Jujur aku sama sekali tidak pernah membaca isu satu lit/zine ini (seperti yang tertera pada kulit depannya). Naskah ini aku peroleh dari toko buku online kegemaranku iaitu Kedai Hitam Putih. Dari muka pertama aku mulai membaca naskah ini aku kategori Fragranfrantik sebagai sebuah naskah sastera. Dari gaya bahasa dan corak penulisan naskah ini aku dapati ianya mirip kepada gaya penulisan yang sering terpapar di jalantelawi.com. Dan sangkaanku benar apabila terdapat satu entry yang pernah disiarkan di jalantelawi.com juga dimuatkan di dalam Fraganfrantik isu kedua ini iaitu sebuah karya terjemahan Ernest Hemingway - Kafe yang bersih dan cukup terang. Barangkali mereka yang terlibat dengan jalantelawi.com juga terlibat dalam pembikinan lit/zine ini. Sekadar meneka.


Antara entry paling menarik perhatianku dalam lit/zine ini adalah entry "Interview Fathullah Luqman Yusuff". Bagi meraka yang yang mengikuti perkembangan scene pasti mengenali sosok ini. Aku boleh kategorikan Fathul sebagai living legend dalam scene underground. Masih ingat pada Spiral Kinetic Circus, Infectious Maggots dan Fathulistiwa?. Pada siapa yang pernah terlibat dengan arena bawah tanah satu ketika dulu pasti sinonim dengan nama Fathullah Luqman Yusuff. Dalam interview ini, perbualan berkisar tentang perjalanan hidup beliau dan tranformasi (kenapa aku rasakan perkataan tranformasi ini  telah menjadi begitu kerajaan) dalam kembara seni beliau.

Oh ya, dari segi fizikal zine ini sangat menarik, dicetak diatas kertas yang seakan - akan kulit buku rampaian sekolah (maaf aku tak tahu apa nama jenis kertas ini). Keunikan kandungan dan juga persembahan percetakan menjadikan ianya sebuah zine yang bisa dijadikan sebagai "collectible item". Aku suka zine ini, makanya sebab itu aku bikin ulasan tentangnya. Tahniah pada semua yang terlibat dalam pembikinan zine ini dan terima kasih kerana karya - karya anda semua di dalam Fragranfrantik bisa menambah zon pengetahuan baru dalam adventure menambah ilmu aku. Menulis itu satu keberanian, Fragranfrantik adalah berani. Terima kasih.

Tuesday, December 18, 2012

Lelaki / Wanita : Kita Tiada Beda



Dalam beberapa bulan ini, aku melakukan beberapa pemerhatian tentang sikap manusia, khususnya sikap lelaki pada wanita. Dalam pemerhatian ini, aku dapat melihat dengan jelas bagaimana sesetengah manusia yang namanya lelaki ini memandang wanita dengan justifikasi yang sangat berat sebelah, seksis dan langsung tidak peduli tentang perasaan manusia yang namanya wanita. Tujuan artikel ini ditulis jauh sekali untuk membeli jiwa golongan wanita mahupun femisnist. Sekadar pandanganku sebagai manusia yang namanya lelaki.

Perkara paling ketara yang aku lihat dalam permasalahan ini adalah kurangnya sifat kita dalam menghormati golongan wanita. Rata - rata perbualan lelaki - lelaki disekitar aku adalah wanita dianggap sebagai objek, lazimnya yang menjurus kearah perlambangan seksual. Entah kenapa mereka ini begitu kemaruk dengan perlambangan seksual ini, seolah - olah mereka mangsa trauma penderaan seksual semasa kecil. Pada aku perkara pokok dalam membetulkan salah tanggap ini adalah dengan memberi penerangan dan pendedahan awal tentang perlunya kita menghormati wanita. Bukan sekadar ibu kita, malahan semua wanita di keliling mereka. Jangan berfantasi seksual berlebih - lebihan.

Jika berbicara tentang menjaga perasaan, di zaman serba pantas ini, banyak sekali kaum - kaum sejenis ku yang sewenang - wenang meng "update" status tentang menceritakan sisi kurang baik golongan wanita. Apa perlunya kita memperkecil - kecilkan mereka? Apa teruk sangatkah kaum wanita ini? Cermin dulu diri kita sebelum mahu memperkata tentang wanita sesuka hati. Jujur aku katakan, aku juga sebahagian dari sistem ini, tapi semenjak aku berkahwin dan punya anak kecil yang kebetulannya juga seorang perempuan, semakin hari aku rasa sebal dengan layanan mereka pada kaum wanita. Lelaki - lelaki di Malaysia khususnya Melayu, begitu tebal sifat patrirarkinya. Pada mereka, oleh kerana mereka lelaki, makanya segala keputusan perlu kata putus mereka. Patriarki total.

Tidak aku nafikan emang ada segelintir wanita yang memang benar - benar memperkuda lelaki. Justifikasinya mudah, mahu mencari kesenangan mudah secara total. Pada lelaki yang diperkuda, biar bodoh, tapi jangan diperbodoh. Dari segelintir ini maka lahir persepsi - persepsi negatif buat kaum wanita. Dek kerana sebiji durian, habis satu bonet kereta berbau durian. Paling penting dalam perkara ini adalah komunikasi. Betul cara komunikasi dan toleransinya, maka bahagia semuanya. Buat teman - teman, saudara - mara, dan juga aku sendiri, HORMATI WANITA dan HAK - HAKNYA. Buat wanita - wanita di sekeliling aku, kamu semua insan hebat. Setiap dari kamu punya keistimewaan sendiri. Percaya pada diri, makanya kamu pasti berjaya.! Pada lelaki, setiap kali ingin memperkotak katik wanita, cuba letakkan diri kamu di tempat mereka dan cuba bayangkan apa rasanya. 


Kembara Selera 1 : Sebuah Pencarian Asam Pedas, Melaka




Sudah terlalu lama aku tidak ngobrol diruang maya ku ini. Semua kerana kesibukan menguruskan kehidupan, tambah lagi aku udah punya cinta kecil yang perlu diberi lebih perhatian. Minggu lalu, kira - kira hari Jemuah yang lepas, aku, sang cinta, dan cinta kecil membuat kerja gila dengan kembara selera secara tiba - tiba. Langsung tiada dalam kamus perancangan. 

Asalnya cinta kecilku ada temujanji dengan dokter, oleh kerana hari Jemuah, makanya tidak ramai orang dan segalanya berjalan lancar. Lalu aku mengusulkan pada sang cintaku agar pergi jalan - jalan buang masa. Lalu idea asam pedas Melaka muncul. Terus sahaja kami meluncur dengan kadar tidak berapa laju agar tidak tertangkap gambar mobilnya dengan cabal kapitalis AES. 

Kami bertiga sampai di Melaka jam 3.00 petang. Kerana tiada perancangan, kami menelefon beberapa kawan untuk mengetahui lokasi asam pedas yang kaw kaw sek. Seorang teman mencadangkan kawasan di sekitar Bukit Katil. Memang banyak sekali kedainya, malangnya banyak juga yang tutupnya. Barangkali waktu urusniaga belum bermula. Berpusing - pusing di sekitar Duyong, akhir aku ketemu sama kedai Asam Pedas Kak Su. Menarik struktur kedai ini. Seakan rumah yang diubah suai menjadi kedai. Perut sudah lapar, terus sahaja aku dan sang cinta membaham apa yang tersedia, sedang cinta kecil terkulat - kulat cuba memahami. Harga yang dikenakan juga cukup berpatutan. 2 mangkuk asam pedas ikan parang dengan harga RM16.00 termasuk minuman dan nasi. Lumayan.

Selesai menjamu selera, aku terus bergerak menuju ke Banda Hilir, lokasi klise pengembara yang ke Melaka. Sebelum sampai di Banda Hilir, aku singgah sebentar di Pulau Melaka, sebuah pulau buatan manusia. Barangkali kerajaan Melaka cuba - cuba untuk menjadi Dubai. Tarikan utama di sini adalah Masjid Selat Melaka yang terletak menghadap Selat Melaka. Masjid yang dibuka secara rasminya pada tahun 2006 ini seakan - akan terapung di pesisir pantai Pulau Melaka. Dari pemerhatian aku, aku dapati pembangunan di sekitar Pulau Melaka ini agak berserabut. Maaf kerajaan Melaka, ini sekadar pendapat dan pemerhatian saya. 

Oleh kerana hujan lebat, kami berehat seketika di sana sebelum meneruskan perjalanan ke Banda Hilir. Aku tiba di Banda Hilir sekitar jam 5.30 petang. Rezeki anak, sampai di sana kami terus beroleh parkir. Pengalaman aku sebelum ini, hampir sejam aku berpusing mencari parkir. Selesai memarkir, kami terus memotret gambar buat kenang - kenangan di hadapan Dataran Pahlawan. Sedang leka memotret, kami di datangi pengusaha beca. Dengan harga RM20.00, kami akan di bawa mengelilingi sekitar Banda Hilir. Satu tawaran yang lumayan.

Pengayuh beca kami seorang budak lelaki berusia 14 tahun. Sepanjang perjalanan, sempat aku bertanya tentang kerja sambilannya itu. Dia bermula pagi dan berakhir malam, satu hari bisa dapat hingga 20 trip. Satu pekerjaan yang lumayan. Tabik buat pengayuh - pengayuh beca Banda Hilir. Aku cukup bahagia melihat dua  cinta aku cukup gembira petang itu. Super gembira!. Sebelum bergerak pulang aku beli sebijik fridge magnet bermotif tokong cina di Melaka. Ini adalah cenderemata wajib tiap kali aku mengambara. 7.00 malam tepat, aku bertiga bergerak pulang. 

Masjid Selat Melaka, kredit gambar : http://www.photomalaysia.com