Monday, January 30, 2012

Review Buku : Sperma Cinta

Sebelum aku mula, Sperma Cinta adalah sebuah buku santai, kelakar, terbarai terbahak - bahak. Serius baca buku ni boleh hilang stress. Tiada dakwa dakwi lagi. Sperma Cinta antara buku yang bisa buat aku senyum atau kekadang mengekek keseorangan. Buku ini sangat santai, sesantai penulis mempersembahkan karyanya pada audience. Suku pertama buku  ini adalah kekuatan utamanya. Suku pertamanya cukup memikat untuk membuat aku membaca hingga akhirnya. Buku ini seperti yang tertera pada kulitnya adalah karya Linglung. Pernah sekali dua bertemu penulis tapi aku segan nak tegur. Berbalik pada Sperma Cinta, cerita santainya akan wujud elemen kelakarnya secara tiba - tiba. Part ni yang terbaik pada buku ni. Aku ketawa dalam jangka waktu yang agak panjang dari biasanya membayangkan Cikgu Liyas dalam cerita "Bau dia lain macam" Part ni memang macam harom kelakarnya. Bila baca Sperma Cinta buat aku teringat zaman aku kecik, zaman duduk asrama. Aku andaikan ini adalah catatan perjalanan Linglung dari dia kecik sampai adanya sekarang. Aku sekadar beranggapan. Sperma Cinta adalah buku yang paling sesuai kalau korang baca untuk hilangkan stress. Ini ubat stress paling mujarab. Tapi awas kalau dibaca ditempat awam, pasti akan ada yang mengatakan korang gila kerana ketawa sorang - sorang. Tapi ada satu perkara kelakar bila kawan aku menyangka yang Sperma Cinta adalah buku tentang hubungan badan. Mati - mati dia ingat buku ni macam Permata Yang Hilang atau kitab Tajul Muluk. Hahaha. Aku beri 3 bintang dari 5 bintang buat Sperma Cinta. Terima kasih Linglung kerna bikin aku ketawa. Kepada sesiapa yang nak beli, boleh dapatkan dari Lejen Press atau beli terus di Uya Distro.

Sunday, January 29, 2012

Antalogi Abjad Durja #4 : Habis Manis Senyum Menangis

Salak kuat - kuat,
Biar dengar sampai sorga,
Erang cemuh puas - puas,
Biar ketuk neraka durja,

Lari, lari, lari,
Jatuh lagi, terpuruk sendiri,
Ada sapa peduli,
Jauh sekali,

Terkapai - kapai cuba menggapai,
Kerna serakah lentok terkulai,
Menjadi mangsa penyedap si tupai,
Masa sedap senyum menyeringai,
Sesal sampai, sedih mengilai.

Si litup tersenyum manis,
Kumbang durhaka cuba menguis,
Bila iman semakin menipis,
Dosa pahala tidak tertapis,

Habis!

Ini bukan puisi moralis,
Sekadar sisipan tepis menepis.

Peace!

Review Buku : Aksi Reaksi - Dokumentasi Dum Dum Tak

Aksi Reaksi, buku yang aku beli pada pra lancarnya di Pekan Frinjan 26, langsung dari penulisnya Nizang yang juga merangkap bassist Dum Dum Tak. Buku ini adalah sebuah catatan perjalanan jatuh bangun Dum Dum Tak. Awal - awal lagi penulis telah memberi amaran : " Tulisan di dalam buku ini mengandungi unsur - unsur syok sendiri yang tidak keterlaluan. Peduli apa, best syok sendiri". Aku setuju pada frasa itu. Buku kita, citarasa kita. Bukankah itu yang mahu dikongsi kita bersama audience kita. Melalut sudah aku. Berbalik kepada Aksi Reaksi, jika anda peminat Dum Dum Tak, maka buku ini wajib ada dalam rak buku anda. Cerita yang cukup straight forward. Menurut penulis, buku ini diolah dari blog Dum Dum Tak sendiri. Penulis juga dikenali sebagai pembikin yang zine diberi nama Mosh Zine. Sebuah zine yang telah lama bertapak dalam arena zine tempatan. Pada aku, ini naskah wajib bagi peminat Dum Dum Tak. Mana tahu, Aksi Reaksi akan menjadi naskah "cult". Biar masa menentukan. Moga Nizang dan Dum Dum Tak terus mara. Beri 3 bintang dari 5 bintang buat Aksi Reaksi. 


Tuesday, January 24, 2012

Notasi Tribute Buat Teman

Sejak dari kecil aku mengenal dirimu.
Kita riang bersama tanpa gundah gulana,
Aku ke parit kau ke parit,
Aku panjat pohon rambutan, kau tunggu di bawah,
Hebat zaman kecil kita,
Bebas lepas tanpa kongkongan sempadan.

Menginjak sedikit dewasa,
Kita masih girang,
Aku di perantauan, kau tenang di desa aman,
Tiada apa yang berubah,
Medang bersama masih menjadi kebiasaan.

Komposisi musik mengeratkan kita,
Kau punya koleksi hebat,
Aku selalu mengendeng menyempat,
Atas dasar kongsi minat.

Tahun ganti tahun, malam ganti siang,
27 tahun lamanya kita bersahabat,
Sebuah perjalanan hebat,
Tapi kini aku meluat,
Dengan apa yang kau sedang buat,
(Huh..........mendengus sedih)

Aku tahu kau hanya mencari rezeki,
Tapi bukan ini gayanya, adu domba cacat keji,
Telinga mendengar, mata memerhati,
Meluat, sakit hati.

Pernah juga teman - teman menembak tepat,
Mungkin lupa atau buat - buat tak ingat,
Atau mungkin aku sekadar berfirasat,
Niat dihati untuk nasihat.

Aku bukan maksum,
Tidak juga punya darjat,
Cuma beri peringatan dari teman kepada teman,
Biar nampak, paham, hadam lalu jadi tauladan.

Moga kau sedar teman.

Salam

Friday, January 20, 2012

Antalogi Abjad Durja #3 : Hikayat Anjing Murka

Hapuskan saja anjing - anjing itu,
Menyalak tidak pada tempatnya,
Menggonggong sesuatu yang bukan haknya.

Hapuskan saja anjing - anjing itu,
Biar tenang dunia dari salakan hipokrasi mereka,
Moga bebas kita dari kawalannya.

Hapuskan saja anjing - anjing itu,
Berupah rupa bila bulan purnama,
Coba - coba, pura - pura nampakkan baiknya.

Hapuskan saja anjing - anjing itu,
Jika tidak pasti kering kota,
Dek kerana ketamakan serakah dunianya.

Hapuskan saja anjing - anjing itu,
Moga aman duniaku, dari amarahmu.

Wednesday, January 18, 2012

Antologi Abjad Durja #2 : Pesan Bapak

Bapaku selalu berpesan,
Jaga - jaga sama orang politik,
Lagi - lagi djaman sekarang.

Bapaku selalu berkata,
Dalam politik cuma ada dua yang majoriti.
Pengampu,
Penipu,
Yang tulus tipis sekali.

Bapaku selalu perhati,
Dari dua tadi, satu pasti melarat kemati,
Congaknya mudah,
Penipu - kaya lebih bersama putar katanya,
Pengampu - melarat, menganggur, mati hati.
Yang ikhlas, jarang sekali.

Ini realiti,
Pengampu menjadi pedati,
Penipu ningkring tinggi.

Siapa rugi?


Nota : Ningkring - Tunggang

Yang Terlintas #7

Entah kenapa,
Entah sejak bila,
Entah bagaimana,
Semua ini bermula,

Ianya hadir tanpa diduga,
Tanpa rencana,
Ianya datang tiba - tiba

Tapi,

Semuanya jadi terbantut seketika.

Tuesday, January 17, 2012

Antologi Abjad Durja #1 : Gula - Gula Rohani

Gula - Gula Rohani

Manusia dahaga agama,
Lapar makanan jiwa,
Mahu adu pada siapa.

Muncul nabi - nabi baru,
Membawa surah - surah palsu,
Membaca hadis - hadis sesat,
Yang ditulis di atas not - not duit.

Lontaran kata - kata mereka bukan kosong ting tong,
Terselit nilai nafas ringgit dalam tiap bait kata.

Katanya hanya untuk yang satu,
Menurut jalan yang diperkenan redhanya,
Tapi nyata hanya plastik palsu belaka.

Jangan babi buta tuli,
Angkat insani menjadi wali,
Kerna Yang Satu itu masih peduli.

Tanya sama hati.
Goncang - goncangkan iman dihati,
Biar ia makin memateri.

Thought Provoke - Fikir Dalam - Dalam, Kenapa Takut Tenggelam Andai Kamu Belum Cuba Berenang

Seorang professor sedang mengajar di dalam sebuah kelas. Ada beberapa orang pelajar di dalam kelasnya itu adalah dari program pertukaran pelajar. Dalam asyik professor itu mengajar, beliau terpandang seorang pelajarnya yang asyik menggosok dan meregangkan badannya yang kelihatan seperti sedang menanggung kesakitan. Lalu professor itu pun bertanya kepada pelajar itu. "Apa yang sebenarnya berlaku?" Pelajar itu memberitahu terdapat peluru yang telekat pada belakang badannya. Dia menjelaskan yang dia pernah ditembak beberapa kali oleh pihak komunis semasa menentang mereka di negara asal beliau, yang pada masa itu cuba untuk menggulingkan kerajaan dan sekaligus menubuhkan sebuah negara komunis. 

Dalam asyik pelajar itu bercerita, tiba - tiba dia memandang ke arah professor itu dan bertanya satu soalan aneh kepada professor tersebut. "Tuan tahu bagaimana caranya menangkap babi hutan?". Professor menjangkakan bahawa soalan itu sekadar gurauan, tetapi pelajar itu menegaskan yang soalan itu bukan gurauan. "Awak boleh menangkap babi hutan dengan mencari tempat yang sesuai di dalam hutan untuk memerangkapnya dengan meletakkan jagung di atas tanah." Babi hutan itu akan menemukan jagung tersebut dan mula datang untuk makan jagung percuma itu tadi. Bila babi hutan itu sudah biasa datang hari demi hari, kamu letakkan pagar pada satu bahagian yang selalu babi itu datang. Bila mereka sudah mula biasa dengan kehadiran pagar itu, maka mereka akan mula makan jagung itu semula dan dalam masa yang sama letakkan lagi pagar pada bahagian yang lain pula.

Babi hutan itu akan terbiasa dengan keadaan itu dan mula makan lagi. Teruskan memasang pagar hingga menutupi semua empat  bahagian kawasan itu. Sediakan pintu masuk pada bahagian terakhir. Babi hutan yang sudah terbiasa makan jagung percuma itu tadi akan mula masuk tanpa paksaan kearah pintu tadi dengan tujuan untuk makan jagung percuma yang telah tersedia tadi. Kemudian dalam mereka asyik makan, tutup pintu itu dan secara tidak langsung kamu telah mengepung babi hutan itu dan dapat menangkap kawanan babi hutan itu. Babi hutan itu pun kehilangan kebebasan mereka.

Babi hutan itu pasti akan berpusing - pusing dan cuba untuk mencari jalan keluar dari kepungan kandang itu.Mereka telah terperangkap. Lama - kelamaan mereka akan kembali kepada rutin mereka iaitu memakan jagung percuma yang telah disediakan. Mereka menjadi terbiasa dengan keadaan itu dan mula lupa dengan kehidupan bebas mereka di dalam hutan belantara. Secara tidak langsung, mereka menerima keadaan mereka yang terkongkong dan terkurung itu.

Pelajar itu memberitahu kepada professor itu bahawa begitulah sebenarnya keadaan yang berlaku di Malaysia . Mengikut pemerhatian beliau, kerajaan terus menerus  memberi bantuan kepada bumiputera dan terus - terusan memberi "jagung percuma" kepada mereka dalam bentuk kenaikan gaji pada kakitangan kerajaan, program penambahan pendapatan, pengecualian cukai, subsidi, keistimewaan bumiputera, kebajikan, perubatan, dadah dan lain - lain lagi. Bantuan yang yang dalam ertikata lain adalah perangkap kepada kebebasan kita yang mana dalam masa yang sama kita kehilangan kebebasan kita sedikit demi sedikit.

Dua perkara yang harus diingat:
1) Tiada yang percuma di dunia ini. Semuanya perlu ada usaha.
2) Kita tidak boleh mengupah seseorang untuk memberikan perkhidmatan pada kita harga yang rendah walhal perkara itu kita boleh lakukan dengan ikhtiar sendiri.

Jika dilihat pada pengertian sebenarnya, "pertolongan istimewa" kerajaan ini akan mendatangkan masalah pada kita menghadapi demokrasi dimasa akan datang. Jika kamu bersetuju dengan pendapat ini, maka kamu pasti berkongsi cerita ini dengan orang lain. Andai kamu merasakan "free ride" ini sebahagian dari hidup kamu, abaikan saja cerita ini.

 " the problem we face today are there because the people who work for a living are now outnumbered by those who vote for a living" - Anonymous

Nota :
*Artikel ini adalah terjemahan dari email kiriman seorang teman yang membaca keadaan sekitarnya. Membaca bukan sekadar buku, malahan lebih dari itu.






Sunday, January 15, 2012

Yang Terlintas #6

Engkau tidur...anteng sekali,
Bibirmu terbuka kecil,
Buat opsyen karbon dioksidamu keluar,
Kejap - kejap, pipi kau bergerak -gerak,
Seakan - akan terkumat kamit,
Mungkin kau mimpi makan kunyit.

Engkau tidur...aku masih bersuara,
Engkau tidur...aku masih berjaga,
Membaca...tingkah gerak - gerimu.

Sampai sini aku mula kabur,
Samar pinar kelopak berat,
Minta rehat.

Selamat Malam.

Thursday, January 12, 2012

Siapa Bodoh Siapa Pandai

Malam kelmarin aku berkesempatan menonton filem 3 Idiots. Sebuah filem Bollywood yang pada aku sangat bagus untuk buat kita berfikir tentang apa yang kita lakukan sehari - hari. Ini bukan review filem 3 Idiots. Ini cerita tentang betapa bodohnya kita dalam menganalisa kehidupan kita. Bila aku kenang balik zaman kecil aku dulu, atau spesifiknya zaman waktu aku sekolah rendah, aku beruntung sebab mak bapak aku bukan jenis yang terus - terusan menekan aku untuk belajar dan dapat markah yang tinggi setiap kali peperiksaan. Aku dapat belajar dengan santai dan mak aku jarang sekali memaksa aku untuk belajar. Mak membiarkan aku memupuk sendiri naluri aku dengan cara aku. Aku bebas main pasir, mandi parit dan panjat pokok kerana bagi mak dan bapak aku itu juga adalah salah satu cara belajar. Tapi sekarang mak bapak bila tengok anak main pasir sikit mata dah terjengil dan pekik maki pun kedengaran. Bila budak nak belajar kalau asyik kena marah. Ia semua berbalik kepada apa yang kita mahukan dalam hidup kita.

Tidak aku nafikan, masa zaman aku kecil dulu, ada diantara teman - teman ibu bapaku yang begitu taksub dengan keputusan peperiksaan anak - anak mereka. Aku bersimpati pada teman - teman aku yang kena sebat, kena ikat di pokok, kena libas dengan paip getah semata - mata sebab markah tidak mencapai standard yang ditetapkan oleh ibu bapa mereka. Apa yang ada pada markah peperiksaan ini semua sampai mereka sanggup memperlakukan anak - anak mereka sedemikian rupa. Jawapan hanya satu, untuk perasaan bangga. Bangga pada orang lain, bangga dengan saudara mara. Pada perasaan bangga itu pula ada sulaman maruah kononnya. Seolah - olah kalau anak tidak dapat markah tinggi, seolah - olah anak itu telah menconteng magic colour ke muka mereka dan mereka akan merasa seperti badut yang kehilangan hidungnya.

Bangga itu langsung tidak ada guna satu sen pun dari segi ekonominya. Bukan boleh KFC dengan perasaan bangga itu kalau korang takde duit. Cuba bawa slip keputusan periksa dan cakap depan budak cashier "Anak saya dapat 100 markah, saya nak beli 1 barrel ayam goreng dan saya nak bayar dengan perasaan bangga dan slip periksa anak saya, boleh?" Mestilah tak boleh! Dan cashier tu pun pasti akan berkata  dalam hati, apa ke bodohnya orang ini.

Berbalik ke zaman sekolah tadi, seingat aku kami dibahagikan pada dua kelas. Kelas Mawar dan Kelas Melur. Kelas Mawar untuk budak - budak yang sekolah kategorikan sebagai pandai dan Kelas Melur untuk untuk mereka yang kurang pandai mengikut terma sekolah. Jadi kita dapat lihat disini sekolah secara tidak langsung telah menggunakan sistem kasta dengan berlindung disebalik pembahagian kelas pandai dan kurang pandai. Kita semua digredkan seperti telur ayam. Yang pandai akan diberi lebih perhatian supaya rating sekolah meningkat manakala murid yang "lambat menerima" dibiarkan terkapai - kapai. Ini realiti kerana cikgu sendiri lebih suka mengajar pelajar yang lebih cepat menerima ini berbanding murid yang lambat menerima. Nak senang kerja rasanya dan mungkin sedikit prejudis. Aku bukan anti guru, tapi anti pada guru yang pilih kasih terhadap pelajarnya. 

Aku melihat sistem pendidikan semasa aku kecil adalah lebih kepada konsep menghukum dan bukannya mendidik. Sebagai contoh murid - murid yang agak lambat untuk menguasai ejaan, bacaan dan kiraan akan ditempatkan disebuah kelas pemulihan atau lebih kepada sebuah rumah pasung. Dengan suasana seperti sebuah rumah hantu dan langsung tiada jiwa atau ambience semangat pada struktur itu. Secara logiknya, macam mana seorang murid hendak menjadi lebih baik dengan keadaan persekitaran yang menyeramkan seperti itu. Ditambah pula dengan guru yang seperti acuh tidak acuh untuk mengajar dan kerap naik angin dengan tidak semena - mena. PMS sepanjang masa gayanya atau mungkin tertekan kerana dia juga ditempatkan di rumah hantu itu. Murid - murid ini seolah - olah sedang menerima hukuman kerana tidak pandai membaca dan menulis disamping ditemani guru garang yang seolah - seolah berperwatakan warden penjara lagaknya. Kelas itu menjadi penjara untuk memisahkan kelompok yang lambat menerima itu dengan kelas biasa. Kononya supaya mereka diberi lebih perhatian dikelas pemulihan, atau pada hakikatnya hanya dibiarkan. Pentadbiran sekolah menganggap mereka sebagai "rotten tomatoes" dan harus diasingkan. 

Kenapa perlu diasingkan mereka ini dari kelompok murid - murid yang lain. Ini kejam dan tidak adil. Mereka juga perlu perhatian yang sama, nasihat yang sama dan bukan kata - kata nista. Teringat aku pada satu peristiwa di mana seorang guru memperbodohkan seorang murid dengan meludah air liur  ke dalam mulut murid tersebut dengan alasan kononnya untuk buat murid itu menjadi bijak setelah menelan air liur cikgu itu. Kejam dan sungguh tidak beritika.Tapi akhirnya, tuhan sendiri yang tahu apa yang terjadi pada murid itu. 

Meminjam kata - kata dari Soh Hok Gie, "guru bukan dewa dan selalu benar,dan murid bukan kerbau". Guru pun ada salahnya dan kita murid berhak menegur. Tapi ego mereka sebagai guru dan orang yang lebih tua sama sekali tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Maka murid pun akan mula menyampah dan kurang minat terhadap guru dan pelajaran dalam masa yang sama. Dalam hati kecil mereka, pasti akan berkata : - "biarlah cikgu terjun bersama labu - labunya".

Ibu bapa kita pula, malahan kita dalam tidak sedar didoktrinasikan dengan satu kepercayaan bahawa menjadi pertama itu adalah segalanya. Bukan abjad atau nombor durja yang kita kejar. Paling utamanya adalah partisipasi dalam kecemerlangan. Maka bila itu berlaku makanya kejayaan pasti menyusul. Kita bebaskan diri kita dari sistem persekolahan yang memenjarakan jiwa dan bakat kita yang sebenar. Sistem persekolahan ini perlu diubah dan perlu diliberalisasikan. Jangan jadikan murid - murid ini tikus makmal dengan mengasingkan mereka mengikut gred dan menjadi bahan uji kaji kepada dasar pendidikan yang sering ditukar ganti pak menteri. Bebaskan diri, jangan jadi hamba kepada sistem. Berani buat pilihan. 


Wednesday, January 11, 2012

Yang Terlintas #5

Bunyi berdengung...nguung..nguung..
Cahaya hijau menyilaukan mata,
Sosok asing curi - curi mencuba guna,
Yang di sini tajam menjeling.

Ada yang datang manis muka,
Mungkin kerna membodek minta tunjuk ajar.

Yang di sini bangun,
Mula menekan,

Bunyi itu gema lagi,
Cahaya itu muncul kembali.

Mesin fotokopi.

Tuesday, January 10, 2012

"Sinetron Malaysia " - Ini Bukan Cerita Drama Swasta

Kalau mahu dibandingkan Malaysia dan Indonesia, rasanya "sinetron" di Malaysia lebih punya banyak aksi, tapi membosankan. Sinetron Indonesia dimainkan di kotak - kotak telivisi, "sinetron" Malaysia punya bedanya yang tersendiri. "Sinetron" kita disajikan di dada akhbar dan saluran rasmi penguasa negara. Plotnya mudah dibaca kerana jalan ceritanya terlalu klise sejak dari dulu. Jika sinetron Indonesia bisa meleret hingga beratus - ratus episod, apa kurangnya "sinetron" Malaysia. Ceritanya mungkin berkisar tentang seluar dalam, tentang cecair cinta, tentang curi kecil - kecilan (yang besar sering kali dikaburi), tentang siapa jolok siapa, cerita tentang senggama, seringnya senggama luar biasa. Dan yang pasti, bila luar biasa senggamanya, pasti luar biasa liputannya. 

Berbeda dengan Indonesia yang menyajikan sinetron buat rakyatnya gembira dan sedih bersama, "Sinetron" Malaysia selalu buat penontonya keliru sama cerita - cerita bohongnya yang buat rakyat keliru dan sekaligus mencacatkan minda penontonnya. Kita sering tertanya - tanya, betulkah? Tipukah?. Persetan semuanya. "Sinetron" Malaysia tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar lencongan buat kaburi mata kita dari isu atau permasalahan yang lebih besar. Memetik kata - kata Hishammudin Rais : - "Di Malaysia ini, jika kucing menunggang basikal, pasti jadi tajuk utama". Jarang sekali kita dengar "Sinetron" Malaysia membicarakan isu ekonomi secara terperinci atau bahasa rakyatnya secara "betul - betul" pada khalayaknya. Kita disuap dan disudu dengan kenyataan seperti :- "pertubumbuhan KDNK meningkat dengan rancak". Bullshit!. Sedangkan yang kita semua tahu dan sedar ekonomi kita dalam keadaan yang mengecewakan atau sekadar cukup - cukup makan. Kenyataan yang dilaungkan tidak ubah seperti memberi gula - gula kepada kepada anak kecil yang belum tahu membaca. Kita yang dibawah ini merasa betapa peritnya hidup dalam keadaan harga produk konsumer yang serba meningkat ini. Hentikan dialog retorik didalam "Sinetron" Malaysia yang berbau penguasa itu. 

Ini bukan zaman dulu - dulu. Bukan zaman pasca Merdeka (Merdeka kah kita?). Pengarah - pengarah "sinetron" ini wajib bertukar gaya fikrahnya. Langsung dari berubah fikrahnya maka akan berubah corak pengolahan dan gaya pengarahan "sinetron"nya. Sedangkan Shamsul Yusof pun boleh keluar dari gaya pengarahan bapanya Yusof Haslam. Masakan pengarah - pengarah "sinetron" ini tidak bisa. Maaf terlupa. Pengarah - pengarah ini pengarah penakut barangkali. Perlu diingat yang penonton sekarang jauh lebih bijak dalam menilai bahan tontonannya. Punya lebih informasi dari generasi sebelumnya. Atau mungkin, tuan punya "sinetron" atau lebih manis "penerbit" (pemberi dana) kepada pengarah - pengarah ini, tidak membenarkan perubahan ini sama sekali. Mereka masih percaya yang penonton masih boleh ditipu dengan cerita - cerita adiwira penipu. 

Penerbit ini memberi dana kepada pengarah untuk membina imej mereka melalui "sinetron" yang ditayangkan. Dalam hal ini, penerbit mahu menjadi juaranya. Biar nampak hebat dimata mangsanya. Pengarah - pengarah ini patuh dengan skrip yang telah ditetapkan sang penerbit a.k.a penguasa. Masakan anjing mahu menggigit tuannya. Agak keterlaluan bahasanya tapi itu realitinya. 

Mujur sekali dizaman serba tahu ini, penonton punya pilihan dalam melampiaskan keperluan percambahan mental mereka. "Sinetron" Malaysia biasanya bertema "governmental" (itu rukunnya, manakan bisa mereka mahu melawan) dalam skrip dan tutur katanya. "Sinetron" ini wajib mengangkat penerbitnya sebagai "grand architect" dalam setiap "sinetron" yang dihasilkan. Disurahkan seolah - olah penerbit itu sebagai satu entiti yang maksum dan langsung tiada cacat celanya. Jika diperhatikan mereka - mereka ini gemar dan sudah seperti menjadi satu kewajipan untuk menggunakan terma - terma seperti pembela, juara, pelindung yang perkasa (oops) buat rakyat. Barangkali mereka mahu kita melihat mereka sebagai adiwira yang akan datang bila kita dalam kesusahan atau sebenarnya mengelentong kita dalam sedar. "They cheat us, when they feed us with the lie". Tapi seringkali kita melihat mereka seperti adiwira yang bodoh. Seperti Superman memakai seluar dalam. Dan pastinya masih ada yang memuja kebodohan ini. Seperti anak - anak kecil - kecil gembira ditipu Superman dipeti telivisi.

Kemunculan media baru dalam menyampaikan cerita - cerita negara banyak memberi impak pada kesan penetrasi "Sinetron" Malaysia. Kita sebagai penonton cukup bijak untuk menilai mana yang betul dan mana yang palsu (atau merepek barangkali). Moga satu hari nanti "Sinetron" Malaysia akan berubah wajah, jalan cerita, dan cara penyampaiannya bila bertukar penerbit (penguasa). Kita sebenarnya "grand architect" sinetron ini, bukan penerbit atau pengarah - pengarah ini. Negara kita punya lebih dari 28 juta manusia dan punya macam - macam cerita yang lebih indah daripada cerita senggama manusia luar biasa. 

Monday, January 9, 2012

Ceria Pagi

Pagi itu,
Khabaran gembira ku kira,
Dalam mamai berbaur air liur basi,
Tanpa empat mata,
Masih jelas,
Dua garis merah itu,
Pada pagi itu.

Adakah ini mimpi,
Ku tepuk pipi,
Realiti.

Syukur pagi itu,
Girang pagi itu,

Terima kasih cintaku,
Terima kasih yang satu.


Saturday, January 7, 2012

Review Buku : Telegram (Koleksi puisi - puisi pop untuk sang pemimpi)

Telegram adalah buku puisi ketiga yang aku beli selepas Stabil (Fared Ayam) dan Kepada Penyair Anjing (Matdon) - ini buku seberang. Aku mengenali penulis secara peribadi semasa aku di zaman gelandangan kampus. Dari senyuman manis beliau, enggak sangka ada ruang buat bait - bait indah dalam dirinya. Mengetahui yang teman lama aku telah punya naskah sendiri, aku tekad mahu dapatkannya sendiri dari tuan punya kata. 
Mosyuki Borhan punya cara sendiri dalam puisinya. Puisi yang dihasilkan kontot sahaja, tapi bisa mengena. Jujur. Penulis menerangkan pada aku yang Telegram adalah cerita tentang dia (bukan drama Tentang Dhia ya). Tentang hidupnya tentang apa yang Mosyuki rasa tentang dunia, tentang persekitarannya. Puisi - puisi Mosyuki minimalis. Seminima perwatakan Mosyuki barangkali. Puisinya pendek, tapi terkesan. Tidak keterlaluan kalau aku katakan yang puisi kontotnya lebih buat aku melekat pada bukunya berbanding puisi meleretnya. Ini kekuatan Telegram. Andai tidak, masakan Wani Ardy  mahu menulis prakata buat Telegram. Sebagai teman dan penikmat, aku beri Telegram 4 bintang dari 5 bintang. Teruskan bermimpi dalam realiti agar bisa hasilkan bait - bait berbisa dan mengena. Salute buat Mosyuki Borhan.

 "Mimpi itu kan percuma, pasanglah ia seberapa yang kau mau, sampai kau dapat apa yang kau tuju"   - Mosyuki Borhan-
                                                                                                        

Nota : Kepada yang beminat untuk mendapatkan Telegram boleh beli di blog Mosyuki Borhan  http://mosyuki.blogspot.com/ dan jika mahu mendengar beliau melontar kata jemput - jemput ke Gravy Baby Musicafe

Pemburu

Cerita tentang pemburu yang memburu.

Pemburu wujud dalam pelbagai rupa, bentuk dan tujuan.
Itu fakta. Dari dulu sampai sekarang.

Pemburu datang dari pelbagai lapis kehidupan.
Miskin, kaya, susah, senang.
Misi totalnya adalah hasil perburuan.
Membawa kepada klimaks kepuasan tujuan.

Pemburu memburu demi survival.
Untuk makan, untuk hidup, untuk kelangsungan.
Ada yang sekadar berburu buat suka suka tawa tawa.
Buang masa.

Masing - masing punya justifikasi sendiri.

Itu cerita tentang pemburu.
Tentang pemburu yang mungkin kita jumpa di "hutan dunia"

Ini cerita tentang pemburu yang sering selisih dengan kita sehari - hari.
Bergesel bahu, mengangkat kening, senyum simpul.
Tiada jelas simptom seorang pemburu.

Pemburu ini tidak perlu raifal, senapang atau busur jantan.
Mereka ini memburu dengan bakat dan kata - kata.
Daging muda desa dan kota dalam sasaran.
Jantan betina sapu semuanya.

Pemburu ini pantang lepa
Kerana mereka memerhati mangsa dalam gelap atau samar.

Silap langkah, mereka diburu.

Review Buku : Bukan Pasarmalam


Pramoedya Ananta Toer. Antara tokoh sastera Indonesia. Karyanya telah diterjemah ke pelbagai bahasa dunia. Jelas sekali menunjukkan pengaruh sastera bawaan Pramoedya. Bukan Pasarmalam adalah novel pertama beliau  yang aku miliki. Terima kasih kepada The Kedai Hitam Putih yang membawakan naskah ini kepada aku. Berbalik kepada naskah ini. Bukan Pasarmalam bukan cerita tentang pasar malam. Itu pasti tiada dakwa dakwi. Kisah perjalanan seorang anak lelaki yang pulang ke kampung menziarah ayahnya yang sedang sakit. Satu perkara yang aku tertarik pada Bukan Pasarmalam ialah cara Pramoedya menceritakan jalan ceritanya tanpa memberi nama pada watak - watak dalam novel ini. Yang ada hanyalah ganti ganti diri. Jujurnya pertama kali aku jumpa gaya novel seperti ini. Cerita yang cuba digambarkan Pramoedya adalah tentang kasih sayang anak pada bapa, tentang seorang guru yang penuh dengan cita - cita pada anak bangsanya. Tertarik pada kata ayah di dalam novel ini :


"Kalau engkau tidak yakin betul, lepaskan cita - citamu untuk menjadi guru itu. Seorang guru adalah kurban - kurban untuk selama - lamanya. Dan kewajipannya terlampau berat. - membuka sumber kebajikan yang tersembunyi dalam tubuh anak bangsa."


Ini tentang jatidiri. Jatidiri seorang anak, seorang ayah, seorang guru, seoarang nasionalis dan revolusioner. Bukunya tipis tapi tebal dengan pengajaran. Aku beri 4 bintang dari 5 bintang kerana naskah ini berjaya buat aku termenung berfikir berulang - ulang. Aku sudah ada Perburuan ditangan. Satu lagi naskah Pramoedya.

Thursday, January 5, 2012

Ceritera Arnab dan Kura - Kura














Hari ini aku jadi kura - kura,
Hari ini aku jadi arnab,

Bilamana aku jadi kura - kura,
Aku jadi malu lalu tersipu - sipu,
Gerak - geri lembut sekali, atau lambat barangkali,
Mencari lindung di cengkerang,
Dari terik perit bahaya.

Bilamana aku jadi arnab,
Aku girang tersenyum riang,
Lompat ke sana ke mari, alpa diri, bongkak barangkali,
Pantas aku ke sana ke mari umpama cerita dewa dewi,
Hingga lupa ceritera arnab dan kura - kura.

Hari esok, belum tentu aku kura - kura,
Hari esok, belum tentu aku arnab,
Serigala barangkali, membaham kedua - duanya sekali.

Review Buku : Kelabu


Kelabu adalah novel ke enam dari Fixi yang aku miliki (Kalau ikut turutan Kelabu adalah novel ke 10 terbitan Fixi). Pertama kali aku membaca hasil penulisan Nadia Khan adalah di Futura Poskod - cerpen PWTC. Berbalik kepada review, Kelabu adalah antara naskah yang buat aku lupa sebentar untuk makan. Kenapa?. Pada aku, penulis menyusun plot cerita dengan begitu teratur dan agak berhati - hati barangkali. Aliran babak ke satu babak yang lain diolah dengan santai tetapi teratur. Perjalanan cerita pada awalnya begitu santai dengan penulis menggambarkan watak Amir sebagai seorang yang amat cool pada pandangan aku. Dan cara penulis mencerekakan watak Amir membuat aku ingin menjadi Amir buat seketika. Bagi aku, Nadia Khan memang pandai mengolah cerita. Satu pujian buat beliau. Moga bisa tulis lebih banyak novel yang bagus. Nanti aku beli.Memetik kata Azira Zainudin di Goodreads :

" I found it very amusing. I have been tricked. A very nice tricked and I love the trick. What's the trick?You really should find out yourself."

Aku ketawa sendirian bila aku sampai pada saat itu. Bayangkan, kau sebagai pembaca dan kau sedang menggambarkan yang kau dalam watak itu dan suddenly kau kene trick dengan penulis. Seriously I love the element that Nadia Khan used in her novel. Tidak keterlaluan kalau aku katakan yang Kelabu bisa dibawa ke layar. Sekadar pandangan aku. Isu yang dibangkitkan penulis dalam novel ini menarik perhatian aku, mengingatkan aku pada PWTC. Isu yang buat kau semua fikir dalam - dalam tentang pilihan hidup tentang dan kesan pilihan hidup kita. Sebenarnya kita memang perlu ramai penulis yang berani bawa isu - isu sebegini ke dalam naskah sastera. Dan Nadia Khan adalah antara yang berani. Salute buat kamu. Aku berikan 4 bintang dari 5 bintang buat Kelabu. (Buku buat aku melekat untuk menyudahkannya).

Tuesday, January 3, 2012

Review Buku : Cekik

Ini karya Ridhwan Saidi yang pertama aku baca. Aku mengharapkan sesuatu yang luar biasa untuk buku ini. Terus terang aku katakan, minda aku menjadi agak tercekik dengan cara penyusunan dan jalan cerita novel ini. Terlalu banyak babak erotik dalam penceritaannya. Lebih kepada erotik fetish. Penulis berani bermain dengan imaginasi.Tertarik dengan cara penulis merungkaikan maksud porno dari sisi falsasfah. Aku akui sememangnya Cekik ada unsur porno seperti yang dikupas penulis. Untuk sebuah novel Melayu, ini kali pertama aku bertemu elemen delusi fantasi fetish. Sesuatu yang baru dan segar. Meneliti watak Warith yang penuh dengan delusi mengingat pada watak Edward Norton di dalam filem Fight Club. Pada aku Cekik punya keunikannya tersendiri. Dalam penulis bercerita hingga membangkitkan nafsu, tapi pada satu tahap stim itu hilang tiba - tiba kerana kegelian fetishnya. Menghilangkan pedas dengan memancutkan air mani ke dalam mulut. Siapa pun tidak akan terfikirkannya. Cekik pada aku adalah cerita tentang bubbrahnya manusia dari segi moralnya. Cerita tentang seorang lelaki yang tahu apa yang dia mahukan atau sebenarnya keliru dalam membuat pilihan. Apa yang terjadi pada Warith adalah pengajaran hidup tentang trauma seorang manusia. Cerita tentang sisi gelap seorang imam, socialit dan cerita tentang songsangnya manusia bila delusi dan fantasi menguasai diri. Tapi harus diingat bahawa Cekik adalah sebuah fiksyen yang memerlukan anda membuka minda seluasnya bila membacanya. Sesuatu yang aku pelajari dari Cekik adalah tentang Mono-Budaya Konsumer Global yang mana penulis secara sinis memperincikan tentang maksud terma tersebut. Teringat aku tentang kata - kata seorang brader di Pekan Frinjan : "Kalau belum grad, baca Cekik dulu, nanti bila dah grad dan dah kerja baca Amerika pulak". Tersenyum gadis manis itu mendengar saranan brader berambut panjang berkacamata itu. Aku beri 3 bintang dari 5 bintang buat Cekik. 

Sunday, January 1, 2012

Yang Terlintas #4

Bicara tentang pilihan.
Pilihan kita,
Pilihan ibu bapa,
Pilihan suami,
Pilihan isteri,
atau apa segala pilihan.
Hidup bagaikan membeli air minuman ringan,
Seperti membuat pillihan jenis air yang ingin dibeli,
Walau apa pun pilihan air yang bakal dibeli,
Tujuan utamanya adalah buat penghilang dahaga,
Begitu juga kehidupan kita,
Apa pun pilihan kita, misi utama adalah buat kelangsungan hidup.
Hidup kita, pilihan kita.